Laporan Sinar Harian, semalam. Laporan Sinar Harian, semalam.
 
 
SHAH ALAM - Makmum mesti sentiasa berada pada kedudukan di belakang imam dalam solat berjemaah, meskipun berada di luar kawasan masjid kecuali di Masjidil Haram.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin, Mohd Shahrizal Nasir berkata, solat berjemaah merupakan antara tanda-tanda kesatuan umat Islam yang menunaikan perintah ALLAH SWT secara bersama.

Bagi menunjukkan kesatuan katanya, jemaah solat Jumaat yang bersolat di luar masjid kerana tidak mencukupi ruang tidak boleh putus saf meskipun secara berkelompok.

“Sekiranya terdapat banyak kelompok berasingan dalam satu kawasan masjid, maka ia boleh menggambarkan situasi perpecahan dalam kalangan umat.
“Kedudukan makmum hendaklah pada tempat yang memungkinkan dia mengikut imam, selagi mereka dapat mengikut imam atau pergerakan makmum lain, maka solat jemaah sah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Solat Jumaat 'depan' imam]

Dalam pada itu katanya, perbuatan makmum mendahului imam dalam pergerakan solat digambarkan sebagai satu perbuatan yang buruk.

"Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: “Apakah salah seorang daripada kalian tidak takut, jika dia mengangkat kepalanya sebelum imam mengangkat kepalanya, lalu dijadikan kepalanya itu kepala keldai, atau bentuknya seperti keldai?," katanya memetik Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Mengulas lanjut, Mohd Shahrizal berkata, solat mestilah ditunaikan menghadap kiblat melainkan pada keadaan-keadaan darurat dan perkara itu tidak boleh diambil mudah.

Katanya, dalam isu ruang masjid yang tidak dapat menampung jemaah, pihak berwajib perlu beri perhatian serius bagi menjamin keselesaan kerana masjid merupakan institusi penyatuan ummah.