Sabtu, 17 Januari 2015

Ketua 1MDB patut beri keterangan pada PAC, kata Tony Pua

THE MALAYSIAN INSIDER


 Ketua Publisiti DAP Tony Pua cabar Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kandasamy beri keterangan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Januari, 2015.Ketua Publisiti DAP Tony Pua cabar Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kandasamy beri keterangan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. – Gambar fail The Malaysian Insider


























Wakil rakyat DAP Tony Pua mencabar ketua 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kandasamy untuk memberikan keterangan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai hal ehwal syarikat pelaburan strategik itu, bagi memastikan pembabitan mereka adil dan bebas daripada politik.

“Memandangkan 'penelitian awam mengenai 1MDB merupakan perkara yang baik’, CEO baru, Arul Kandasamy perlu tawar diri untuk beri keterangan kepada PAC untuk ‘mengukuhkan syarikat itu dan pemerintahannya’,” kata Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam satu kenyataan.

Semalam, Arul menawarkan ketua publisiti DAP itu bertemu dengannya ‘untuk mendapat lebih maklumat’ mengenai dana yang menanggung beban hutang itu, susulan serangan berterusan Pua terhadap syarikat kontroversi berkenaan.


Sementara Pua mengucapkan terima kasih kepada Arul untuk tawaran itu, beliau berkata presiden dan pengarah kumpulan syarikat yang baru dilantik itu sebelum ini menuduh pengkritik lebih didorong “unsur politik berbanding pertimbangan perniagaan yang tulen’.

 “Untuk mengelak sebarang tuduhan yang saya mungkin memutar belit dan memanipulasi secara ‘politik’ dalam pertemuan dengan 1MDB, mungkin lebih baik jika Arul bertemu dan beri keterangan pada PAC.

“PAC terdiri daripada 7 Barisan Nasional dan 5 Pakatan Rakyat, wakil dilantik yang tidak boleh dituduh bias terhadap 1MDB.

“Pertemuan seperti itu bukan saja adil, tetapi dilihat lebih adil untuk rakyat Malaysia keseluruhannya,” kata Pua dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata penting untuk soalan kritikan dijawab  secara umum supaya rakyat Malaysia mendapat maklumat penuh mengenai hal ehwal 1MDB.

Pua berkata Arul dalam kenyataannya semalam tidak memberikan sebarang penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan sebelum ini.

Pua mahu tahu apa yang Arul maksudkan dana AS$2.318 bilion (RM8.24 bilion) yang diletakkan di pulau Cayman sudah ditebus semula.

Beliau juga mendesak ketua baru itu mengesahkan jumlah sebenar yang diterima syarikat itu secara tunai.

“Pendedahan seperti itu sudah tentu beri kesan baik membuka kerahsiaan yang disembunyikan berhubung beberapa tindakan misteri syarikat berkenaan sepanjang tempoh 5 tahun lalu,” kata Pua.

Katanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga sepertinya mempersoalkan ke mana dana itu pergi.

“Memandangkan Arul terbuka mengalu-alukan ‘penilaian awam’ sebagai ‘perkara yang baik’ yang ‘akan hanya mengukuhkan lagi syarikat dan pemerintahannya’, kami menanti pertemuan 1MDB dengan PAC untuk membuktikan syarikat itu tidak menyembunyikan apa-apa.

“Sudah pasti tidak ada cara lebih baik untuk 1MDB berhubung dalam ‘cara paling bertanggungjawab’ seperti dicari Arul,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tidak kira sama ada ia dialog tertutup, atau mesyuarat dengan PAC, beliau tidak sabar untuk mendengar “jawapan jujur” tidak lama lagi.

Dana pelaburan strategik itu, ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dimiliki kerajaan, perlu membawa pulang dana yang disimpan di Cayman sebelum penghujung November, seperti dipersetujui juruauditnya, Deloitte Malaysia.

Arul pada Selasa berkata 1MDB sudah menebus semula dana yang dilaburkan secara berdaftar di pulau Cayman.

Tetapi Dr Mahathir memberitahu portal berita, Sarawak Report, berkata penjelasan yang diberikan pelabur strategik Malaysia itu ‘dangkal’.

"Penjelasan tidak jelas kepada kita," kata Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif bersama portal Sarawak Report itu.

"Saya mahu tahu di mana bank yang menyimpannya. Berbilion dolar, kamu mesti simpan di suatu tempat. Saya tidak tahu di mana wang tersebut – itu sebahagian daripada ketelusan, katanya.

Pua pada Khamis bertanya soalan yang sama di mana duit itu diletakkan dan jumlah sebenar diterima dalam bentuk tunai.

Tiada ulasan: