PETALING JAYA - Seorang lelaki dipercayai warga India ditemui mati dengan kesan tikaman di dada dalam sebuah rumah kedai di Petaling Utama di sini awal hari ini.
  
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, mayat lelaki yang identitinya masih belum diketahui itu ditemui dalam keadaan berbogel oleh rakan serumahnya pada pukul 5 pagi.
  
"Siasatan awal mendapati mangsa adalah pekerja sebuah restoran di sini dan ditemui terbaring di hadapan bilik air dengan kesan tikaman di dada," kata beliau kepada pemberita di sini.
  
Beliau berkata susulan siasatan, polis menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 35 tahun bagi membantu siasatan kes itu.
  
Azmi berkata mayat mangsa yang berumur lingkungan 40-an dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. - Bernama