Jumaat, 13 Jun 2014

Usul Hudud Selangor: Jangan main-main! – Speaker


hannah3



Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Pembangkang Selangor hari ini menarik balik usul mengkaji pelaksanaan hudud di negeri itu dengan alasan usul itu “menimbulkan banyak kekeliruan.”

“Kita sudah berbincang dalam mesyuarat awal Adun BN. Disebabkan terlalu banyak kekeliruan, kita putuskan untuk tarik balik,” kata Ketua Pembangkang Datuk Mohd Shamsuddin Lias, seperti dipetik laman The Malaysian Insider.

Penarikan usul itu dibuat sehari selepas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Hannah Yeoh meluluskannya untuk dibahaskan di sidang DUN minggu depan.

“Selepas saya mengumumkan menerima usul Adun Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik semalam, hari ini pejabat saya menerima salinan notis beliau menarik balik usul itu.

“Tiada sebab disertakan berhubung keputusan beliau tersebut,” katanya kepada Roketkini.

Mengulas perkembangan terbaru itu, beliau menyifatkannya sebagai mainan politik terangan-terangan oleh Adun Umno itu.

“Dewan bukanlah tempat untuk sesiapa bermain-main politik. Jika seorang Adun itu tidak bersedia untuk berdebat dan mempertahankan usulnya, beliau tidak sepatutnya membuang masa Dewan untuk membentangnya.

“Maka, saya memberi peringatan keras kepada Kamarol Zaki dan semua Adun, sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang, agar tidak menyalahgunakan dan mencabuli peraturan mesyuarat ketika mencadangkan usul untuk dibahaskan,” katanya.

Beliau berkata lagi, DUN adalah pentas wakil rakyat bersuara mewakili kawasannya serta mengambil bahagian secara produktif dalam proses perundangan.

“Walaupun wakil rakyat ada hak untuk membentang atau menarik balik suatu usul, tabiat seperti ini tidak boleh digalakkan. Mereka menggalas tugas untuk menjunjung integriti dan memelihara kemuliaan DUN dengan tidak memperlakukannya secara cuai dan sembarangan,” katanya lagi. -Roketkini.com

Tiada ulasan: