Rabu, 4 Jun 2014

Ugut guru muat naik poster calon DAP, kerajaan keterlaluan

Oleh Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR: Gangguan pegawai kanan Kementerian Pendidikan terhadap guru yang memuat naik poster calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Teluk Intan di facebooknya adalah tindakan keterlaluan.

Ini berlaku apabila pegawai berkenaan menghubungi guru tersebut dan turut memberi ‘nasihat’.
Pengarah Biro Pendidikan KEADILAN, Abbas Awang berkata, tindakan tersebut yang dianggap beliau sebagai ugutan itu menyekat kebebasan guru untuk bersuara.

abas awang 4“Ini tindakan terkebelakang, kementerian tidak seharusnya menyekat kebebasan guru untuk menyatakan pendirian mereka.

“Dengan sekatan itu, bermakna Kementerian sedang menjadikan mutu guru merosot,” kata Abbas kepada Keadilan Daily.

Media melaporkan, seorang guru yang tidak mahu namanya disiar mendakwa dihubungi seorang pegawai kanan kementerian yang meminta guru berkenaan menutup laman facebooknya dan menyatakan beliau sedang ‘diawasi’.

Guru yang berkhidmat 16 tahun itu mendakwa, kementerian lebih berminat memantau laman sosialnya berbanding mengambil tindakan terhadap sebilangan guru yang terlibat dalam masalah lebih serius.

Abbas yang juga bekas Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan tidak terkejut dengan tindakan kementerian dan beranggapan ia dilakukan atas arahan pihak tertentu.

Jelasnya, arahan itu dikeluarkan akibat ketakutan dan rasa terancam BN terhadap sokongan guru dan penjawat awam terhadap kemaraan Pakatan Rakyat.

“Inilah punca kualiti pendidikan kita merudum, ada pihak lebih utamakan kuasa politik berbanding berusaha mempertingkatkan mutu pendidikan negara,” tegas Abbas.

Tiada ulasan: