Rabu, 25 Jun 2014

Tutup laluan, SPAD tunggu keputusan KTMB

MUHAMMAD FAIZAL 


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menunggu keputusan mesyuarat pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dijangkakan esok mengenai arahan penutupan landasan Gua Musang ke Gemas mulai 27 Jun ini.

Harakahdaily ketika menghubungi Bahagian Komunikasi SPAD dimaklumkan arahan penutupan itu dilakukan berikutan atas faktor keselamatan penumpang yang menggunakan laluan tersebut.

"Kita telah bermesyuarat sebelum ini, dengan meletakkan aspek keselamatan sebagai perkara paling utama dalam menyediakan pengangkutan awam dan selaras dengan Seksyen 106 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, kita mengarahkan landasan tersebut telah ditutup.

"Dua tahun lepas empat kemalangan (gelincir) telah berlaku dan kita bernasib baik kerana tidak melibatkan kemalangan jiwa, kita juga merujuk kepada laporan audit dan atas dasar-dasar tersebut kita membuat arahan," jelas pegawai bahagian komunikasi itu.

Ketika ditanya adakah arahan penutupan itu menyebabkan keseluruhan operasi ke laluan Pantai Timur akan dihentikan serta merta atau tidak, beliau memberitahu arahan SPAD adalah menutup operasi laluan tersebut atas dasar keselamatan penumpang.

"Namun KTMB ada maklum bahawa satu mesyuarat pengurusan akan diadakan esok bagi berikutan arahan SPAD itu.

"KTMB boleh merayu kepada kita apa kaedah yang mereka ada dan cara mana mereka ingin lakukan, apa yang penting sekali faktor risiko dan keselamatan penumpang itu perlu dipatuhi seperti mana yang terkandung di dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," kata beliau.

Harakahdaily turut menghubungi Pusat Panggilan KTMB memaklumkan tiket bagi perjalanan ke Pantai Timur bagi musim perayaan dibuka mulai semalam untuk jualan.

Pusat Panggilan KTMB itu turut memaklumkan bahawa tiada arahan diterima dari pihak pengurusan kepada Bahagian Jualan Tiket mengenai penutupan laluan tersebut.

Sementara itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPTMB) dijangka akan mengadakan satu piket di pekarangan Ibu Pejabat SPAD pada 26 Jun (esok) jam 5 petang sebagai bantahan penutupan operasi laluan Gua Musang ke Gemas.

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan turut memberitahu selain Kuala Lumpur, piket turut diadakan di Gemas, Kuala Lipis dan Gua Musang pada 28 Jun ini.

Tiada ulasan: