Mohd Noor Yusoff Mohd Noor Yusoff

PUTRAJAYA - Penggunaan papan iklan kartun sebagai medium memberi kefahaman mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat tidak wajar diturunkan, demikian menurut Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (Perkasa), Mohd Noor Yusoff.

Beliau berkata, jika terdapat kekeliruan pada papan iklan berkenaan, ia seharusnya dibuat pindaan pada kadar segera.

"Kebanyakan papan iklan kartun promosi GST mudah difahami dan mampu memberi input baik kepada rakyat.

"Bahkan medium sama (iklan kartun) digunakan bagi memberi kefahaman kepada rakyat mengenai Program Transformasi Kerajaan (GTP)," katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Mohd Noor berkata demikian ketika menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai penggunaan papan iklan kartun tersebut sebagai gagal mencapai maksud sebenar bagi membantu rakyat memahaminya selain ia amat  memalukan kerana tidak sesuai.

"Perkasa melahirkan rasa kesal terhadap beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran,  berikutan tindakan mengkritik secara terbuka.

"Seharusnya perkara ini tidak perlu diperbesarkan. Ia hanya papan iklan yang digunakan untuk rakyat tahu dan ingat mengenai GST," katanya.

Katanya, sebagai bekas menteri Kabinet, Dr Mohd Puad sepatutnya datang berjumpa dan berbincang dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk memberi cadangan bagi meningkatkan promosi GST.

"Tetapi, bukan dengan cara meminta Tan Sri (Dr Mohd Irwan Serigar) bersara awal. Beliau banyak membantu memastikan program kesedaran dan penerangan GST kepada kumpulan sasar berjalan lancar," katanya.

Katanya, Perkasa termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), Pejabat Kastam Negeri dan Kastam Malaysia sentiasa menganjurkan siri taklimat kesedaran dan kefahaman GST di seluruh negara selain mengedarkan risalah GST dan membuat hebahan di  media massa.

"Wakil rakyat juga boleh memainkan peranan dengan cara mendalami ilmu GST dan turun padang memberi taklimat dan penerangan kepada rakyat di kawasan mereka," katanya.