rombakan kabinet


SHAH ALAM – Sebaik pengumuman mengenai Kabinet baharu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi, MCA akan mengadakan sidang media jam 3.00 petang ini.

Sidang media itu akan dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin MCA yang lain.

MCA kembali menyertai Kabinet kerajaan selepas setahun berlalu ekoran kecewa dengan keputusan tidak memberangsangkan pada PRU13 yang lalu.

Sebentar tadi, teka-teki mengenai kedudukan terkini Kabinet Malaysia terjawab dengan beberapa nama yang sudah dijangka sebelum ini turut diumumkan Najib.

Najib mengumumkan, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai menteri memegang portfolio Menteri Pengangkutan; Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Naib Presiden MCA, Senator Datuk Lee Chee Leong sebagai
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa  dan Industri; Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan; Naib Presiden MCA, Senator Datin Seri Paduka Chew Mei Fun sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Keenam-enam menteri Kabinet ini akan mengangkat sumpah pada Jumaat ini, jam 11.30 pagi di Istana Negara.