Puncak Niaga  
Puncak Niaga


SHAH ALAM - Puncak Niaga (M) Sdn Bhd hari ini bersetuju menerima tawaran kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih 100 peratus pegangan saham syarikat rawatan air itu dan 70 peratus pula saham dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Keputusan pengambilalihan itu dimaklumkan kepada anak syarikat kerajaan negeri Selangor, iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) melalui sepucuk surat bertarikh 6 Jun lalu.

Menurut kenyataan media Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini, KDEB membalas surat Puncak Niaga itu dan bersetuju dengan prinsip tawaran tersebut.

"Kedua-dua pihak telah menyatakan persetujuan dengan terma dan syarat pengambilalihan 100 peratus pegangan saham dalam PNSB dan 70 peratus dalam Syabas dengan pertimbangan tunai bersih berjumlah RM1,555.3 juta.

"Sebagai sebahagian daripada tawaran pengambilalihan itu, KDEB akan mengambilalih pegangan saham Puncak Niaga dalam PNSB dan Syabas termasuk semua aset dan liabiliti yang berkaitan industri air sahaja," katanya memetik kenyataan medianya, hari ini.

Kenyataan itu menyebut Ahli Lembaga Pengarah Puncak Niaga juga telah membuat pengumuman tentang hasratnya itu kepada Bursa Malaysia pada akhir dagangan hari ini.

Bagaimanapun tawaran itu masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Puncak Niaga pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan oleh PNSB dalam masa terdekat.

Penerimaan tawaran pengambilalihan itu susulan rayuan Puncak Niaga kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada 15 Mei 2014 bagi menangguhkan penguatkuasaan Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WSIA).

Dalam pada itu, Menteri Besar, Tan Sri Seri Abdul Khalid Ibrahim menyambut baik perkembangan terbaharu itu dan mengucapkan tahniah kerana usaha mengembalikan hak air kepada rakyat sudah di peringkat akhir.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memulakan proses menawarkan saham air kepada rakyat Selangor yang layak sebaik sahaja pengambilalihan ini selesai sepenuhnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kerana komitmen dan bantuan kepada Kerajaan Selangor dalam memuktamadkan penyusunan semula industri air Selangor seperti yang dihasratkan WSIA.

Menteri Besar berkata, usaha menggabungkan industri air di Selangor secara bersepadu hampir menjadi kenyataan dan kerana itu, kerajaan negeri akan memenuhi komitmen untuk memudahkan pelaksanaan projek Langat 2 seperti yang telah dipersetujui menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) Air yang dimeterai antara Kerajaan Selangor dan Persekutuan pada Februari 2014.

Menteri Besar juga akan mempengerusikan bersama mesyuarat Langat 2 dengan Menteri KeTTHA, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili pada Khamis ini.