Rabu, 18 Jun 2014

Perkasa: Empat Ahli Parlimen PAS perlu diusir


Tindakan mereka disifatkan sebagai 'kurang ajar' apabila menggesa untuk hapuskan kuasa MAIS dan JAIS

misc01_300x200


PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Shamsuddin Moner menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh empat Ahli Parlimen PAS di Selangor iaitu Khalid Samad, Mariah Mahmud, Hanipa Maidin dan Che Rosli Che Mat sebagai biadap.

“Mereka begitu berani mempertikaikan pendirian dan keputusan MAIS untuk tidak memulangkan semula Bible Bahasa Melayu dan Iban yang dirampas daripada The Bible Society of Malaysia bulan Januari lalu.

“Mereka ini tidak layak bergelar dan diberi penghormatan sebagai Ahli Yang Berhormat kerana tidak menghormati Institusi Islam seperti MAIS dan JAIS yang mana Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor,” katanya.

Tambah beliau, perbuatan empat Ahli Parlimen PAS ini lebih ‘kurang ajar’ apabila mereka dengan angkuh dan ekstrim mengutarakan gesaan kepada Kerajaan Negeri Selangor di mana mereka mendakwa menguasai dua pertiga ahli dewan agar meminda undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk menghapuskan kuasa MAIS dan JAIS.

“Jelas bahawa pendirian empat Ahli Pas ini selari dengan tuntutan Comango di UPR Geneva yang mendesak supaya Enakmen Jenayah Syariah dan mahkamah Syariah dibubarkan di Malaysia.
Beliau yang mewakili Perkasa memberi amaran keras kepada empat ahli parlimen ini supaya berhenti membuat provokasi liar.

“Mereka bertindak seolah-olah mereka adalah jurucakap kepada Comango. Jangan naikkan kemarahan NGO-NGO Melayu Islam di bawah Perkasa di mana jumlah keahliannya lebih 500 ribu orang.

“Kami siap sedia untuk mempertahankan imuniti kuasa MAIS dan Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam. MAIS dan Sultan adalah benteng terakhir bagi umat Islam untuk mempertahankan kesucian Agama Islam dan maruah Institusi Agama daripada di hina oleh puak-puak gereja dan gerakan liberalis agama yang dah mula meresap ke dalam saf kepimpinan PAS,” katanya.

Pada masa yang sama, Perkasa dan Gabungan NGO Islam yang lain seperti Pembela  dan ISMA akan memohon untuk menghadap DYMM Sultan Selangor dalam masa terdekat untuk mempersembahkan kepada Sultan supaya terus bertegas atas keputusan MAIS untuk tidak memulangkan semula bible seperti yang diarahkan oleh Peguam Negara.

“Selain itu, Perkasa juga ingin mencadangkan kepada Sultan Selangor supaya empat Ahli Parlimen PAS ini tidak dibenarkankan tinggal dalam Negeri Selangor. Mereka perlu diusir keluar dari negeri Selangor.

Tambahnya, hanya dengan cara ini sahaja boleh menyelamatkan maruah DYMM Sultan Selangor atas penghinaan dan kebiadaban mereka ini.

Tiada ulasan: