Selasa, 24 Jun 2014

‘Penswastaan’ UiTM beri untung kepada Umno

dyana pc

Roketkini.com

 
PETALING JAYA – Pembinaan sepuluh kampus baru Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) melahirkan kegusaran lantaran ‘penswastaan’ universiti awam tersebut dikhuatiri akan menambah beban mahasiswa.

Kerajaan justeru digesa mengkaji semula konsesi pembinaan kampus-kampus UiTM yang didakwa memihak kepada syarikat kroni Umno bagi mengaut keuntungan.

Dalam satu kenyataan bersama, Setiausaha Politik Ketua Parlimen DAP Dyana Sofya Mohd Daud, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Dr Afif Bahardin, dan beberapa alumni UiTM yang lain membuat gesaan terbabit selain mendesak supaya sistem tender terbuka dilaksanakan.

“Selaku alumni UiTM; kami tidak sanggup melihat UiTM tergadai kepada syarikat-syarikat konsesi ini hanya kerana kerakusan pimpinan UMNO,” ujar mereka dalam satu kenyataan bersama.

“Kami selaku alumni UiTM merasa sedih dan kecewa; kerana hakikatnya UiTM telah dipergunakan UMNO dan Barisan Nasional.”

“Kami merasa gusar dengan masa depan UiTM kerana dengan bentuk ‘penswastaan’ ini; akhirnya ia bakal merugikan kerajaan dalam jangka masa panjang,” kata mereka sambil menambah bahawa mereka turut khuatir kos penyelenggaraan yang ditanggung UiTM ini akhirnya akan ditanggung pelajar UiTM.

Minggu lalu Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendedahkan beberapa konsesi UiTM di seluruh negara yang melibatkan pemimpin Umno.

UiTM dalam jawapannya kepada dakwaan Rafizi langsung tidak menyangkal dakwaan beliau termasuk kos sewa tahunan yang ditanggung bagi setiap kampus malah seakan-akan membantu mengesahkan dakwaan Pengarah Strategi PKR itu.

“UMNO seringkali melaungkan diri mereka sebagai pejuang kepentingan Melayu; hakikatnya ini adalah satu sandiwara untuk mengabsahkan amalan korup, kronisme dan nepotisme yang membarah dan menghantui sistem negara,” tegas mereka. – Roketkini.com


Tiada ulasan: