Hingga kini masih was-was sebab sesetengah pihak kata haram, dan sesetengah pihak pula kata halal.
PETALING JAYA: Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengumumkan produk coklat Cadbury tidak mengandungi DNA babi, namun beberapa pengguna Facebook masih lagi meragui status halal produk tersebut.
Kini, bagi mengembalikan keyakinan pengguna, pihak Cadbury telah mengambil inisiatif untuk mengiklankan status halal produk tersebut di dalam dada-dada akhbar tempatan.
Antara akhbar yang telah mengiklankan iklan produk tersebut adalah akhbar Sinar Harian, Sin Chew Daily, Malaymail dan beberapa akhbar tempatan lain.
Namun demikian, beberapa orang pengguna masih ragu tentang status halal produk tersebut.
Bagi Nur Syamilah Mat Isa, 24, dirinya masih ragu-ragu dan tidak yakin serta keliru dengan status produk tersebut ekoran terdapat beberapa percanggahan pendapat dari beberapa pihak.
“Hingga kini masih was-was sebab pihak ni cakap haram, dan pihak ni pula kata halal. Keliru,” komennya.
Bagi Eksekutif Sumber Manusia dan Kewangan, Dyana Amin, 24 pula berkata, dia masih teragak-agak walaupun pihak Cadbury telah mengeluarkan iklan tersebut bagi mempromosikan semula produknya.
Terpulang kepada diri
Walaubagaimanapun, Dyana turut berpendapat bahawa itu terpulang kepada diri masing-masing.
“Kalau rasa was-was jangan makan tetapi sekali masyarakat sudah hilang kepercayaan, maka mereka tidak akan percaya lagi,” katanya.
Manakala, bagi mahasiswa di salah sebuah universiti tempatan, Sarina Harun, 24, dia masih meragui dan tidak yakin dengan produk cadbury tersebut walaupun pihak cadbury telah melakukan pengiklanan bagi mengembalikan keyakinan pengguna.
“Saya masih ragu-ragu dengan status halal produk Cadbury,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah mengumumkan bahawa produk coklat Cadbury tidak mengandungi DNA babi selepas keputusan terbaru makmal Jabatan Kimia Malaysia diperoleh yang disahkan oleh Jakim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan