Rabu, 11 Jun 2014

Pemuda PAS solat hajat, solidariti buat Mejar Zaidi

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melalui Jabatan Amal semalam menganjurkan Majlis Solidariti bersama Mejar Zaidi Ahmad, pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dihadap ke mahkamah tentera.

Pada majlis yang diadakan di Darul Amal, Taman Maluri, Kuala Lumpur itu, mereka turut mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin agar Mejar Zaidi terus diberikan kekuatan dan pertolongan oleh Allah dalam berhadapan dengan tuduhan yang dikenakan terhadap beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Khairil Nizam Khirudin dan Mejar Zaidi sendiri.

Khairil dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily berkata pihaknya bertekad untuk terus menyatakan solidariti dan penghargaan kepada Mejar Zaidi atas keberanian beliau bercakap benar dan tidak tunduk kepada pihak yang berbuat zalim.

"Mejar Zaidi yang menyatakan kebenaran dikenakan tindakan sedangkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menguruskan dakwat kekal yang tidak kekal itu masih tidak dikenakan sebarang tindakan.

"Adakah ini dikatakan keadilan," soal Khairil.

Mejar Zaidi dihadap ke mahkamah tentera dengan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 51 Angkatan Tentera 1972 berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.

Pada perbicaraan di Mahkamah TUDM Sungai Besi semalam, beliau telah dikenakan semula lima pertuduhan yang dipinda yang sebelum diketepikan.

Tiada ulasan: