Khamis, 12 Jun 2014

Peguam asak saksi isu 'isteri' Mejar Zaidi

MALAYSIAKINI


 


Seorang saksi pendakwaan diasak bertalu-talu oleh peguam Mejar Zaidi Ahmad atas kenyataannya di mahkamah tentera semalam, yang berbeza dengan keterangan sewaktu siasatan 28 Ogos 2013.

Peguam Hanipa Maidin meminta Laskar Udara Kanan (LUK) Mohd Zunaidy Muchtar menjelaskan mengenai identiti wanita yang hadir bersama Zaidi sewaktu pegawai tersebut membuat laporan polis pada 1 Mei 2013.

Menurut Hanipa, Mohd Zunaidi dalam "cabutan keterangan" bertarikh 28 Mei 2013 mengenalpasti wanita tersebut sebagai isteri kepada Zaidi.

Bagaimanapun, Mohd Zunaidi hanya merujuk wanita tersebut sebagai "wanita tidak dikenali" ketika memberi keterangan di mahkamah semalam.

Hanipa: Semalam LUK ada menyatakan semasa berada di restoran, di bawah khemah, nampak seorang lelaki dan wanita bersama Mejar Zaidi.

Kalau tidak tahu perempuan tersebut, mengapa dalam cabutan keterangan, LUK Mohd Zunaidy menyatakan, dalam cabutan keterangan bertarikh 28 Ogos 2013 yang ditandatangani, ada dinyatakan beberapa kali Mejar Zaidi bersama isteri?

Maka pada 28 Ogos, dah tahu dah Mejar Zaidi bersama isteri, mengapa semalam tak ada dinyatakan langsung tentang isteri?

Bukankah ini menunjukkan LUK tak bercakap benar?

Zunaidy: Sebab saya tak kenal isteri dia.

Hanipa: Macam mana semalam kata tak kenal, 28 Ogos kata tahu LUK.

Maka salah satu mesti tak betul, betul (atau tidak)?

Zunaidy: Kenyataan saya tetap seorang perempuan tak dikenali juga, semua adalah betul.

Hanipa: Boleh terangkan kepada mahkamah kenapa ada perbezaan itu?

Zunaidy: (Diam selama kira-kira 30 saat) Kenyataan saya memang seorang perempuan tak dikenali.

Saya tak dapat huraikan.

Kalau isteri atau perempuan tak dikenali, tetap sama.

Hanipa: LUK, ini mahkamah, bukan kedai kopi. Mesti adalah, salah satu daripada ini yang bohong.

Tiada ulasan: