Rabu, 18 Jun 2014

PAC persoal Kementerian Kewangan beri projek RM348 juta

Kontraktor tidak mempunyai lesen untuk membuat empangan, kata Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

misc03_300x200


KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed  tidak berpuas hati dengan pihak Kementerian Kewangan yang telah memberikan projek Empangan Paya Beda yang bernilai RM348 juta kepada syarikat yang tidak mempunyai kredibiliti.

Menurutnya, akibat dari pengambilan kontraktor yang tidak berkemampuan beberapa kesan telah terjadi seperti projek itu lambat siap dan menimbulkan banyak masalah serta empangan tersebut tidak diurus dengan baik oleh pegawai yang terbabit.

“Antara punca projek ini bermasalah adalah kerana keputusan pihak Kementerian Kewangan untuk melantik sendiri kontraktor tanpa melakukan tender terbuka,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Ujarnya, kontraktor yang dilantik iaitu JAKS Resources Berhad juga didapati bermasalah kerana kontraktor tersebut tidak mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Mereka sepatutya mendapatkan lesen untuk membuat empangan, tetapi sebaliknya pula berlaku. Mereka tidak mempunyai lesen untuk membuat empangan,” katanya.

Kata Jazlan lagi, pihaknya sendiri tertanya-tanya mengapakah pihak Kementerian Kewangan memberikan projek tersebut kepada pihak yang sudah diketahui tidak berkemampuan untuk melaksanakan projek tersebut.

“Dalam masa terdekat, kita akan memanggil bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Mokhtar Ismail, dan juga pegawai yang bertanggungjawab dalam projek ini Datuk Azhari Mohd Ghazali.

“Kita juga akan memanggi Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Kewangan kenapa mereka tidak membuat tender terbuka, selain akan memanggil kontraktor untuk bertanya mengapa mereka menerima projek yang mereka tidak mampu lakukan,” katanya.

Jelasnya lagi, mungkin ada satu keadaan yang selesa antara pihak kontraktor dan juga pihak Kementerian Kewangan.

Ditanya sama ada projek itu mengandungi unsur rasuah, Nur Jazlan menjawab bahawa beliau tidak tahu menahu.

“Saya tidak tahu, dan dalam PAC, kita tidak mahu ada syak wasangka,” katanya.

Katanya, sejumlah besar projek itu juga dilakukan oleh sub-kontraktor yang dilantik pemaju kontrak.

Selain itu, katanya, turut berlaku ‘pembayaran yang tidak sepatutnya’ apabila pihak kementerian terlebih bayar sebanyak RM500,000 kepada juru ukur.

“Jumlah itu lebih daripada jumlah invois mereka dan kementerian maklumkan juru ukur sudah membuat bayaran balik, tetapi mereka bayar secara ansuran,” katanya.

Nur Jazlan berkata, kontraktor berkenaan turut tidak mempunyai kakitangan teknikal untuk membangunkan projek berkenaan.

Disebabkan kelewatan projek itu, syarikat berkenaan dikenakan denda lewat siap (LAD) sebanyak RM50,000 sehari.

Tiada ulasan: