Rabu, 25 Jun 2014

Najib perlu jelas mengapa agungkan pengganas – Kit Siang

lks (3)

Roketkini.com


KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak wajib menjelaskan kenyataannya yang mengagungkan Islamic State for Iraq and the Levant (ISIL) yang telah mencetuskan kecaman pelbagai pihak.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, pujian Najib terhadap kumpulan militan itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan dalam negara, malah boleh menjejaskan hubungan antara negara Asean dan juga antarabangsa.

“Bukan sahaja warga Malaysia, malah jiran Asean kita dan masyarakat antarabangsa masih cuba memahami implikasi kenyataan Perdana Menteri yang memuji ISIL – pertubuhan yang dianggap terlalu ekstrim oleh Al-Qaeda sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih teruk, katanya lagi, kenyataan Najib itu dibuat ketika Malaysia berhadapan dengan polarisasi kaum dan agama, di mana adu-domba dan ucapan mengapi-apikan kebencian mengancam kemajmukan masyarakat Malaysia.

“Pujian Najib itu diadakan pada hari yang sama Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim mengancam untuk ‘memancung leher’ pihak yang dikatakan menghina Islam dan Sultan Selangor.

Adakah ini bermakna Ruslan dan Perkasa bakal mendapat perlindungan atas ancaman jenayah mereka?” katanya, merujuk pada kenyataan Ruslan dalam satu perhimpunan berhampiran Istana Selangor Isnin lalu.

Ketika berucap dalam majlis sambutan ulang tahun ke-20 Umno Cheras pada hari yang sama, Najib mengejutkan banyak pihak dengan menjadikan ISIL sebagai simbol keberanian yang perlu dicontohi anggota Umno dalam mempertahankan parti itu.

ISIL adalah kumpulan serpihan Al-Qaeda yang bertujuan mewujudkan negara Islam dan diperintah oleh Khalifah di Iraq dan Syria dan diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas oleh seluruh masyarakat antarabangsa, termasuk oleh negara majoriti Muslim.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, ucapan itu juga memberikan kesan serius, memandangkan Wisma Putra semalam menyatakan bahawa 15 rakyat Malaysia yang menyertai ISIL telah terbunuh di Syria.

“Wisma Putra juga menyatakan ‘Malaysia selaku negara yang sederhana dan mencintai keamanan mengutuk sebarang tindakan keganasan dan ekstremisme oleh mana-mana pihak, termasuk warganya sendiri’.

“Maka, Najib perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia, negara Asean dan masyarakat antarabangsa mengapa beliau mengagungkan pengganas ISIL,” katanya lagi.

Mengulas isu sama, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan itu seperti menggalakkan lagi ancaman-ancaman keganasan dan kebencian oleh pimpinan Umno dan Perkasa.

“Ancaman kebencian seperti dibuat Ruslan Kassim seperti diberi galakan oleh Najib (dengan kenyataannya itu).

“Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri menggesa ahli partinya untuk belajar daripada pengganas. Adakah beliau akan meminta ISIL membuka cawangan di Malaysia selepas ini, agar lebih mudah untuk orang Umno belajar daripada mereka,” katanya sinis. –


Tiada ulasan: