MALAYSIAKINI
Dua MP Pakatan mendakwa diusir dari satu sesi taklimat mengenai laporan
ketua audit negara yang dikendalikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Paul Low.
MP Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan MP Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul
Bahrin mendakwa, menteri tersebut mengusir mereka keluar dari majlis di
Menara Integriti, Jalan Duta.
Raja Kamarul mendakwa, Low berbuat demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program tersebut, kira-kira jam 2 petang ini.
Menurutnya, Low dalam ucapan tersebut meminta individu yang bukan
merupakan petugas media atau pegawai kerajaan agar meninggalkan majlis.
"Ia (tindakan menghalau) dilakukan oleh (Low) sendiri dan ia menunjukkan
sejauh mana beliau percaya kepada ketelusan," sindir MP PAS itu.
Beliau merujuk kepada tugas Low sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap integriti dan ketelusan dalam pentadbiran negara.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan Parlimen, selepas kejadian tersebut.
Menurut Kamarul, sebelum majlis bermula mereka didekati seorang petugas
yang memberitahu bahawa ahli politik tidak sepatutnya hadir.
Katanya, mereka membantah perkara itu kerana ia merupakan majlis terbuka dengan liputan media secara langsung.
'Sesi basuh otak?'
Petugas berkenaan muncul semula selepas menghilangkan diri beberapa
ketika, dan memberitahu bahawa mereka boleh kekal di majlis itu dengan
syarat tidak bertanya sebarang soalan pada sesi soal jawab.
"Jika ia disiarkan secara langsung, apa yang rahsianya?
"Melainkan majlis itu sudah dirancang.
"Sesi ini sepatutnya sesi dialog, monolog atau sesi basuh otak?
"Mereka kata mereka akan adakan sesi berasingan untuk ahli politik
tetapi kami ingat benar dengan janji taklimat MH370," katanya.
Beliau merujuk kepada sesi taklimat kehilangan pesawat MH370 buat MP
Pakatan yang tidak pernah berlangsung walaupun menteri pengangkutan pada
asalnya bersetuju.
Sim kemudian mengedarkan satu salinan surat berkenaan taklimat itu yang
dinamakan "Sesi Taklimat Umum mengenai Laporan Ketua Audit Negara:
Maklumbalas dan Tindakan".
Menurutnya, beliau kesal dengan keengganan Low untuk membenarkan mereka terus berada pada majlis taklimat itu.
"Jangan terus minta duit pada sesi belanjawan tambahan tetapi enggan
jawab soalan bila kami tanya sebab kamu membelanjakannya secara salah,"
kata Sim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan