Rabu, 18 Jun 2014

MOSTI sahkan NSE Resources diberi geran melebihi had- Rafizi

Oleh: Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR : Kenyataan Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diam yang menafikan kementerian itu pernah memberi geran kepada Syarikat NSE Resources disangkal oleh jawapan kementerian itu sendiri.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, jawapan MOSTI berhubung soalannya pada 16 Jun lalu menunjukkan geran berjumlah RM14.19 juta diberikan kepada dua syarikat yang ada hubung kait dengan NSE Resources.

Syarikat tersebut ialah Global Network Technolgy Sdn Bhd dan NSE Pomar Sdn Bhd yang dakwanya mempunyai hubung kait dengan syarikat yang mendapat kelulusan dana RM100 juta di bawah kementerian itu.

Dana tersebut sebelum ini dakwa Rafizi diluluskan atas campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jelasnya, pemberian dana sebanyak RM5.9 juta dan RM3.7 juta oleh kementerian itu kepada  Global Network Technology Sdn Bhd dan RM4.47 juta kepada NSE Pomar Sdn Bhd juga bertentangan dengan kenyataan Abu Bakar.

Timbalan Menteri itu sebelum ini dipetik sebagai berkata geran maksima yang diberikan oleh MOSTI adalah tidak lebih daripada nilai RM3 juta.

Rafizi dalam sidang media di lobi parlimen hari ini mempersoalkan tindakan kementerian itu memberikan geran kepada syarikat -syarikat tersebut.

“Kedua-dua syarikat yang ada kaitan dengan NSE ini telah gagal menyempurnakan projek sehingga projek berkenaan ditamatkan.

“Tidak pasti sama ada Timbalan Menteri MOSTI tidak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai geran yang diberikan atau beliau sengaja cuba sembunyikam maklumat dari borang awam mengenai keistimewaan yang diterima syarikat ini yang sering mendapat geran dari MOSTI,” jelas Rafizi yang juga Pengarah Strategi KEADILAN.

Sebelum ini, Rafizi mendedahkan geran di bawah MOSTI yang sepatutnya diguna untuk aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) telah disalahguna untuk membiayai projek komersil yang tidak pasti nilai keberhasilannya.

Beliau pada 11 Jun lalu turut mencabar Datuk Seri Najib Razak dan Menteri MOSTI, Datuk Dr Ewon Ebin membuat akaun bersumpah berhubung skandal geran berkenaan.

“Tanpa penafian dalam bentuk akuan bersumpah, surat dari Menteri MOSTI yang saya lampirkan bolehlah dikira benar, apatah lagi apabila Perdana Menteri dan Menteri MOSTI enggan menjawab soalan berkenaan kesahihan surat-surat itu di dalam Parlimen.

“Saya yakin bahawa banyak lagi ketirisan dalam pentadbiran dan pemberian geran seperti ini yang berlaku yang belum didedahkan,” ujarnya.

Tiada ulasan: