MALAYSIAKINI
MCA dan Gerakan menggesa seorang ADUN Umno supaya menarik balik cadangan
untuk membentangkan usul berhubung hukum hudud apabila persidangan
Dewan Undangan Negeri Selangor disambung pada 16 Jun.
Naib presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun berkata beliau kesal dengan
tindakan ADUN Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik yang dilaporkan
akan membentangkan usul itu kerana tiada kesepakatan antara parti
komponen BN berhubung pelaksanaan hudud sehingga sekarang.
"Ketika wakil rakyat dari Umno itu bercadang untuk membentangkan usul
itu, beliau tidak ragu-ragu lagi masuk perangkap yang dipasang oleh
Pakatan, terutama PAS," kata beliau dalam kenyataan.
Chew percaya Selangor tidak memerlukan sebarang bentuk pelaksanaan hukum
hudud atau pun menjadi tajuk perbahasan pada mana-mana persidangan DUN.
Beliau berkata negara mempunyai undang-undang jenayah dan Kanun
Keseksaan yang komprehensif dan mempunyai dua set undang-undang akan
menimbulkan kekeliruan dan konflik.
"Politik ialah mengenai menangani urusan semua orang. Pelaksanaan
sebarang dasar hendaklah diukur dari sudut pandangan nasional," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Selangor, David Ang Chin Tat berkata
parti itu membantah keras tindakan Kamarol Zaki untuk membentangkan usul
itu.
"Gerakan Selangor membantah cadangan itu kerana hudud bercanggah dengan perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga menggesa pemimpin DAP dan PKR di Selangor menyatakan pendirian masing-masing mengenai isu berkenaan.
Sementara itu, Kamarol Zaki ketika dihubungi Bernama berkata beliau
bercadang untuk membentangkan usul hudud tetapi terserah kepada Speaker
Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh sama ada untuk menerima atau
menolak usul
itu untuk perbahasan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan