MALAYSIAKINI
Khabar angin mengenai rombakan kabinet sejak awal minggu ini, bakal
terjawab hari ini apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dikatakan akan mengumumkannya selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet,
lapor Berita Harian hari ini.
Desas desus itu bertambah kuat apabila beliau dijangka menghadiri
perasmian Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Teluk Intan esok selepas
pilihan raya kecil parlimen itu 31 Mei lalu.
Pada kempen pilihan raya kecil itu, Najib mengumumkan akan melantik
Presiden Gerakan yang juga calon BN Teluk Intan Datuk Mah Siew Keong
sebagai menteri jika parti itu menang.
Laporan itu menyebut Mah dikatakan akan dilantik sebagai menteri di
Jabatan Perdana Menteri, manakala dua pemimpin MCA bakal dilantik
jawatan menteri pengangkutan dan timbalan menteri kewangan.
Penyertaan semula Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Wee Ka Siong
dalam Jemaah Menteri dibuat sejajar dengan keputusan mesyuarat agung
luar biasa parti itu pada 23 Februari lalu yang meluluskan resolusi
menerima jawatan dalam kerajaan.
Dalam laporan akhbar itu yang memetik sumber juga menyebut, tiga menteri
dari Umno bakal berubah portfolio, manakala seorang dikatakan akan
digugurkan.
Dalam laporan itu juga, rombakan itu bakal menyaksikan pemimpin Parti
Tindakan Rakyat Sarawak (TERAS) menggantikan sekurang-kurangnya seorang
timbalan menteri dari Sarawak.
Manakala menteri, timbalan menteri dari Sabah serta anggota kabinet MIC dijangka tidak berubah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan