Selasa, 10 Jun 2014

MB: Puncak Niaga terima tawaran pengambilalihan, penstrukturan di peringkat akhir

SELANGOR KINI


SHAH ALAM : Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim menyambut baik perkembangan terkini penstrukturan air apabila Puncak Niaga menerima tawaran pengambilalihan oleh Kerajaan Selangor

Abdul Khalid dalam kenyataan media mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Selangor kerana sudah berada di peringkat akhir dalam usaha mengembalikan hak air kepada rakyat.

air-syabas_MB1Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memulakan proses menawarkan saham air kepada rakyat Selangor yang layak sebaik sahaja pengambilalihan ini selesai sepenuhnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kerana komitmen dan bantuan kepada Kerajaan Selangor dalam memuktamadkan penyusunan semula industri air Selangor seperti yang dihasratkan WSIA.

Menteri Besar berkata, usaha menggabungkan industri air di Selangor secara bersepadu hampir menjadi kenyataan dan kerana itu, Kerajaan Negeri akan memenuhi komitmen untuk memudahkan pelaksanaan projek Langat 2.

Ia seperti yang telah dipersetujui menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) Air yang ditemeterai antara Kerajaan Selangor dan Persekutuan pada Februari 2014.

Menteri Besar juga akan mempengerusikan bersama mesyuarat Langat 2 dengan Menteri KeTTHA, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili pada Khamis ini.

Tawaran Kerajaan Selangor untuk mengambilalih 100 peratus pegangan saham dalam Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan 70 peratus saham dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) telah diterima secara prinsip oleh Puncak Niaga Holdings Berhad (Puncak Niaga).

Keputusan Puncak Niaga untuk menerima tawaran pengambilalihan PNSB dan SYABAS oleh Kerajaan Selangor telah dimaklumkan kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) melalui sepucuk surat bertarikh 6 Jun 2014.

KDEB pula dalam balasan suratnya kepada Puncak Niaga pada hari ini menyatakan persetujuan secara prinsip dengan persetujuan tawaran itu.

Kedua-dua pihak telah menyatakan persetujuan dengan terma dan syarat pengambilalihan 100 peratus pegangan saham dalam PNSB dan 70 peratus dalam SYABAS dengan pertimbangan tunai bersih berjumlah RM1,555.3 juta.

Sebagai sebahagian daripada tawaran pengambilalihan itu, Kerajaan Selangor menerusi anak syarikat milik penuhnya, (KDEB) akan mengambilalih pegangan saham Puncak Niaga dalam PNSB dan SYABAS termasuk semua aset dan liabiliti.

Bagaimanapun, aset, liabiliti dan usaha niaga yang tiada kaitan dengan industri air adalah dikecualikan.

Melainkan pengecualian aset, liabiliti dan usaha niaga PNSB yang tiada kaitan dengan Perjanjian Konsesi, kesemua terma dan syarat ini adalah selari dengan terma dan syarat yang terkandung dalam tawaran akhir KDEB kepada Puncak Niaga bertarikh 26 Februari 2014.

Kerajaan Selangor juga telah diberitahu bahawa Ahli Lembaga Pengarah Puncak Niaga telah membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia pada akhir dagangan hari ini bagi mengesahkan persetujuan secara prinsip untuk menerima tawaran pengambilalihan ini.

Antara lain, tawaran pengambilalihan ini adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Puncak Niaga pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan oleh Puncak Niaga dalam waktu terdekat ini.

Dalam mesyuarat khas yang diadakan hari ini, Lembaga Pengarah Puncak Niaga telah dimaklumkan perkembangan terbaharu ini dan juga telah dimaklumkan oleh Tan Sri Rozali Ismail mengenai niatnya untuk mengundi.

Ia bagi menyokong tawaran pengambilalihan oleh Kerajaan Selangor pada EGM akan datang memandangkan hak dan kelayakan beliau sebagai pemegang saham sebanyak 41.32 peratus secara langsung dan tidak langsung dalam Puncak Niaga.

Penerimaan tawaran pengambilalihan ini adalah susulan rayuan yang telah dibuat oleh Puncak Niaga kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada 15 Mei 2014 bagi menangguhkan penguatkuasaan Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WSIA). EZY

Tiada ulasan: