Khamis, 12 Jun 2014

Mahfuz pertahan wujud salah guna kuasa menteri dalam Bank Rakyat


Tetap wujud unsur salah guna dalam skandal pemberian pinjaman RM32 juta kepada usahawan permaidani Deepak Jaikishan, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar. Gambar fail The Malaysian Insider.

OLEH JAMILAH KAMARUDIN .


Tetap wujud unsur salah guna dalam skandal pemberian pinjaman RM32 juta kepada usahawan permaidani Deepak Jaikishan, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar. Gambar fail The Malaysian Insider.


Ahli Parlimen Pokok Sena daripada PAS, Datuk Mahfuz Omar mempertahankan kewujudan unsur salah guna dalam skandal pemberian pinjaman RM32 juta tanpa faedah Bank Rakyat kepada ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan.

Mahfuz berkata, campur tangan menteri yang mengarahkan lembaga pengarah Bank Rakyat untuk membuat keputusan mengenai pinjaman itu masih dianggap sebagai satu kesalahan.

Katanya, lembaga pengarah yang dipengerusikan oleh Tan Sri Sabbaruddin Chik semasa keputusan pertama sudah menolak cadangan pinjaman itu tetapi menerimanya pada kali kedua atas persetujuan secara 'rela-paksa' selepas diarahkan menteri.

 "Menteri beri ugutan kalau tidak setuju akan dipecat. "Ini ugutan yang diperakui Sabbaruddin. Jadi kalau SPRM kata tiada unsur rasuah, ya mungkin daripada aspek beri atau terima benda tetapi salah guna kuasa juga dikira berunsur rasuah," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

 Katanya, kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang menyatakan Sabbaruddin membuat penafian itu tidak benar.

Katanya, Sabbaruddin hanya menafikan laporan berita yang mengaitkan pinjaman itu dengan keluarga perdana menteri tetapi tidak pernah menafikan penglibatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek dalam skandal ini.

 Beliau turut mendedahkan hasrat Hasan untuk berjumpa dengannya secara peribadi bagi menjelaskan situasi sebenar.

Melalui nota kecil yang diletakkan di meja Mahfuz dalam Dewan Rakyat, Hasan berkata "YB Pokok Sena, bila boleh kita jumpa berbincang isu Bank Rakyat?" serta dengan tandatangan dan nombor telefon bimbit peribadi.

Mahfuz berkata, nota itu dipercayai diletakkan pada petang semalam ketika beliau tiada dalam Dewan dan sedia berjumpa dengan Hasan pada bila-bila masa saja.

 "Tetapi persoalannya dia tidak perlu beri penjelasan kepada saya tetapi kena jelaskan dalam Dewan dan rakyat demi memastikan penjelasan kukuh dijawab di Parlimen.

"Dia bukan bertanggungjawab kepada saya tetapi kepada Parlimen," katanya.

 Ahmad pada sesi penggulungan Dewan Rakyat semalam menafikan Bank Rakyat memberi pinjaman kepada mana-mana individu tanpa mengira kadar keuntungan.

Beliau berkata, pihak yang menimbulkan dakwaan itu mungkin terkeliru dengan penstrukturan pembayaran semula pokok atau baki pinjaman.

 Katanya, pihaknya juga dimaklumkam Sabbaruddin sudah mengakui kenyataannya mengenai isu itu diputarbelitkan oleh media alternatif.

Ahmad berkata, penstrukturan pembayaran semula yang diklasifikasi sebagai “non performing loan” merupakan amalan biasa bank bagi memastikan sebarang pinjaman perlu mendapat pulangan yang baik berdasarkan keadaan semasa. Mengenai 120 keping cek “post-dated”, beliau berkata perkara itu sekadar cara bayaran dan tidak menyalahi undang-undang.

Tiada ulasan: