Selasa, 24 Jun 2014

Lokasi sebenar MH370 belum kenal pasti

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein  
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein


KUALA LUMPUR - Kerajaan masih menjalankan perbincangan dengan pihak berkuasa Australia dan China bagi mengenal pasti lokasi baharu di laut Hindi untuk mencari MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
  
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perbincangan itu juga meliputi fasa baharu dan penggunaan aset bersesuaian bagi operasi mencari pesawat itu.
  
"Itu amat penting dalam fasa baharu ini, kerana tanpa mengetahui atau memutuskan lokasi kawasan itu, ia adalah amat sukar untuk kita memahami jenis peralatan yang diperlukan yang mempunyai keupayaan tertentu dalam misi pencarian ," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) 2014 dan melancarkan buku bertajuk 'Perancangan Ketenteraan Dalam As-Sunnah' di sini, hari ini.
  
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang dalam perjalanan ke Beijing, China telah hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
  
Pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
  
Hishammuddin juga sekali lagi menggesa agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung laporan yang mendakwa juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah sebagai suspek utama di sebalik kehilangan MH370.
  
"Jangan percayakan spekulasi, pada asasnya ini tidak adil kepada keluarga juruterbang, ini tentang keluarga dan beliau mempunyai anak dan sekiranya anda salah bagaimana anda mahu membaiki kerosakan yang telah ditimbulkan itu," katanya.
  
Baru-baru ini, Akhbar Sunday Times, United Kingdom melaporkan polis Malaysia kini menganggap suspek utama di sebalik kehilangan MH370 adalah juruterbang penerbangan tersebut, Kapten Zaharie Ahmad Shah. - Bernama

Tiada ulasan: