Penduduk kampung percaya ia dilakukan individu ada kaitan dengan ajaran sesat Penduduk kampung percaya ia dilakukan individu ada kaitan dengan ajaran sesat


BENTONG - Penduduk di Kampung Jawi-Jawi, Pelangai gempar apabila lebih 100 kubur di Tanah Perkuburan Islam di sini dikorek individu tidak bertanggungjawab dipercayai bagi melengkapkan aktiviti pemujaan atau ajaran sesat.

Kejadian itu disedari penduduk kampung lewat petang kelmarin, dan maklumkannya kepada anggota polis di Pondok Polis Kampung Jawi-Jawi untuk tindakan susulan.

Seorang penduduk, Radin Noraddin, 48, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku empat hari lalu dan laporan polis dibuat awal pagi semalam.

Menurutnya, penduduk kampung cuba memerangkap individu terbabit namun gagal.

“Semua tanah kubur yang dikorek adalah di tengah-tengah kedudukan antara dua batu nisan, iaitu kira-kira satu genggam setiap kubur.

“Saya tidak pasti apa motif mereka datang ke sini dan buat macam itu. Tetapi, saya terkilan apabila batu nisan dan kepok turut dicabut,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Radin, perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku di kawasan perkuburan Islam ini dan berharap pihak berwajib dapat menjalankan siasatan dan membina pagar di sini bagi mengelak kejadian sama berulang.

Katanya, kejadian itu dipercayai dilakukan dilakukan oleh seorang atau tiga individu dengan menggunakan cangkul.

“Tiada barang-barang lain yang mencurigakan yang dijumpai melainkan cangkul dan sepana yang dipercayai digunakan untuk mengorek permukaan tanah kubur,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalil Abdul Talib, 53 berkata, kubur arwah ibunya digali sehingga sedalam satu kaki dan kepok pula dicabut.

Menurutnya, ini merupakan kejadian kedua menimpa kubur arwah ibunya dan sebelum ini berlaku pada tahun lalu.

“Sebelum ini pun pernah berlaku dan hanya melibatkan satu kubur sahaja tetapi tidak seteruk sekarang.

“Saya pun tidak pasti apa motif mereka korek dan apa yang mereka cari. Tetapi, apa yang dilakukan ini memang tidak betul,” katanya.

Abdul Khalil memberitahu, perkara itu berkemungkinan merupakan salah satu ajaran pengamal ajaran sesat berikutan mereka mengambil tanah di tempat sama di setiap kubur terlibat.

Bagi Abdul Koris Ishar, 52, kebanyakan kubur yang digali itu terletak berdekatan dengan pokok besar dan busut menyebabkan penduduk mensyaki perbuatan itu adalah untuk pemujaan.

Katanya, walaupun belum mendapat kepastian mengenai perkara itu, namun berharap pihak berwajib dapat memantau perkara ini sekali gus membantu menyelesaikan masalah kerosakan yang dialami waris.

Difahamkan, Tanah Perkuburan Kampung Jawi-jawi ini merupakan kedua tertua di Pelangai, dan pusara yang paling lama didapati daripada batu nisan adalah pada 1925.