Salleh (kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam Salleh (kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam


KUALA TERENGGANU - Polis memberi amaran akan mengenakan hukuman setimpal terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kesalahan jenayah terutama membabitkan kes pukul dan gaduh di sekolah yang hangat disebarkan melalui video di laman sosial dan blog.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid berkata, walaupun perkara itu tertakluk di bawah penguatkuasaan jenayah, pihaknya tetap memandang serius perkara itu.

“Saya ingin beri amaran kepada mereka yang terlibat, ini adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan tindakan setimpal kerana ia mendatangkan kecederaan kepada orang lain.

“Individu terlibat dalam kes demikian akan berdepan tindakan undang-undang,” katanya ketika mengulas mengenai penyebaran beberapa video pergaduhan melibatkan pelajar dan terbaharu didakwa berlaku di Terengganu.

Salleh berkata, ibu bapa disarankan mengambil perhatian kelakuan anak mereka ketika berada di luar jagaan.

Katanya, pihak sekolah dan orang awam juga bertanggungjawab melaporkan kepada pihak polis.

“Saya menyarankan sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan, sila laporkan kepada pihak polis kerana kita akan bertindak mengikut undang-undang sedia ada.

“Dengan pemantauan keluarga, pihak sekolah dan melalui maklumat diberikan orang awam kepada polis, perkara ini dapat dibendung,” katanya.

Beliau berkata, penyebaran video memaparkan situasi pergaduhan itu tidak dapat menyelesaikan masalah tanpa maklumat kepada polis.

“Masalah ini akan berterusan jika kita tidak menangani dan cegah kejadian itu daripada berlaku,” katanya.