Isnin, 30 Jun 2014

Lajim kekal kerusi Klias, permohonan Isnin ditolak

JOCELYN ANN DRAGON 


PUTRAJAYA: Ketua pembangkang Sabah Datuk Lajim Ukin kekal menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Klias apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan calon Barisan Nasional (BN) agar keputusan pilihan raya bagi kerusi itu dibatalkan.
  
Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mempengerusikan panel lima anggota, memutuskan bahawa rayuan yang dikemukakan Isnin Aliasnih tidak mempunyai merit dan oleh itu memerintahkan beliau membayar kos guaman RM20,000 kepada Lajim.
  
Dalam penghakimannya, Zulkefli berkata Isnin gagal membuktikan bahawa wanita bernama Wong Kui En @ Norliah dilantik sebagai wakil bagi Lajim, yang didakwa mengagihkan wang RM50 dan kupon pada 4 Mei tahun lepas, sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
  
Isnin mendakwa, Norliah yang bertindak sebagai wakil calon bagi Lajim, mengagihkan wang serta kupon berkenaan (yang boleh ditebus untuk mendapatkan wang RM100 sekiranya Lajim memenangi kerusi itu) kepada pemilih di kawasan berkenaan pada PRU-13.
  
Zulkefli berkata perayu gagal memuaskan hati mahkamah bahawa ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah itu (Lajim) tahu dan merestui perbuatan rasuah Norliah memberi sampul mengandungi wang dan kupon berkenaan.
  
"Kami berpendapat hakim pilihan raya membuat keputusan betul apabila beliau mendapati perbuatan Norliah pada 4 Mei tahun lepas itu adalah di luar skop tugasnya sebagai wakil calon," katanya.
  
Beliau berkata apa yang dilakukan Norliah pada 4 Mei tahun lepas itu merupakan perbuatannya secara peribadi, yang dengan tepat disifatkan hakim pilihan raya sebagai “on a frolic of her own”.
  
Oleh itu, katanya, perbuatan yang didakwa dilakukan Norliah pada 4 Mei tahun lepas dalam menunaikan tugasnya sebagai wakil calon, tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada responden (Lajim).
  
Lajim memenangi kerusi Klias atas tiket PKR dengan majoriti 179 undi setelah meraih 6,324 undi berbanding Isnin sebanyak 6,145 pada pilihan raya umum 5 Mei.
  
Isnin memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan apabila Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyennya pada 6 Dis tahun lepas.
  
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Isnin, berkata berikutan implikasi daripada keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengkaji untuk meminda undang-undang pilihan raya bagi menjelaskan tentang peranan wakil calon dan wakil pengiraan undi.- Bernama

Tiada ulasan: