Jumaat, 13 Jun 2014

Kes Altantuya: Kesaksian DSP Musa tak jejas kes

MALAYSIAKINI


 


Pasukan pendakwaan dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu memberi alasan bahawa pasukan itu tidak mengemukakan bekas pembantu peribadi kepada Datuk Seri Najib Razak, DSP Musa Safri sebagai saksi kerana ia tidak akan menjejaskan perjalanan kes.

Petisyen rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan itu menyebut, Musa Safri tidak terlibat dalam mengeluarkan apa-apa arahan.

Musa, yang menjadi pembantu peribadi semasa Najib menjadi timbalan perdana menteri pada 2006, tidak dipanggil sebagai saksi, yang menyebabkan Mahkamah Rayhuan membuat keputusan mengikut Seksyen 114(g) Akta Keterangan.

Ia menggariskan bahawa mahkamah boleh menganggap bahawa sesuatu bukti tidak memihak kepada pihak terlibat, jika ia tidak dikemukakan.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke atas pembebasan Cif Insp Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar.

Dalam petisyen tersebut, pihak pendakwaan menyatakan bahawa Musa tidak memainkan peranan penting kerana beliau hanya memperkenalan ketua polis daerah Brickfields kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda – tertuduh pertama yang dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.

"DSP Musa tidak mempunyai sebarang peranan yang signifikan dan relevan untuk memerlukan (Musa) dipanggil sebagai saksi," petisyen itu dipetik.

Dokumen yang disaksikan oleh Malaysiakini itu menggariskan 24 alasan rayuan.

Ia turut menyatakan keterangan Azilah ketika pembelaan bahawa Musa tidak memberi apa-apa arahan untuk membantu Abdul Razak.

"Arahan DSP Musa hanya sekadar untuk berjumpa dengan Abdul Razak Baginda sahaja," petisyen itu dipetik.

Azilah juga memberi keterangan bahawa tindakan diambil berdasarkan kewarasan dan budi bicara beliau sendiri.

"Sirul tidak menerima maklumat daripada orang lain mengenai bantuan yang diminta."

Menurut dokumen itu lagi, Sirul, dalam kenyataan tidak bersumpah, tidak menyatakan apa-apa maklumat mengenai penglibatan atau arahan dari Musa.

Selain itu, Musa juga menawarkan diri sebagai saksi pendakwaan, walau beliau tidak dipanggil sebagai saksi oleh pasukan itu, menurut petisyen itu lagi.

Rayuan itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 10 hari.

Tiada ulasan: