Selasa, 17 Jun 2014

Kerajaan akan minta MAS baca doa sebelum penerbangan

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bersedia meminta syarikat penerbangan Malaysia (MAS) mengamalkan bacaan doa perjalanan di dalam setiap pesawat mereka sebelum memulakan penerbangan.

Perkara itu dinyatakan pihak kementerian dalam satu jawapan bertulis kepada soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS Bachok), semalam.

Ahmad Marzuk dalam soalannya menayakan bilakah MAS akan membuat polisi membaca doa sebelum perjalanan, mengenakan pakaian menutup aurat kepada pekerjanya dan tidak menyediakan minuman beralkohol.

Dalam jawapannya pihak kementerian berkata, dalam isu penjualan arak dan minuman beralkohol, MAS perlu memenuhi kehendak penumpang pelbagai lapisan khususnya penumpang kelas perniagaan dan kelas pertama yang menjadi kelaziman syarikat penerbangan seluruh dunia.

Bagaimanapun katanya, ia tidak bermakna MAS menggalakkan penumpangnya mengambil minuman keras.

"Mengenai cadangan pembacaan doa semasa memulakan perjalanan adalah merupakan satu cadangan yang baik.

"Sehubungan itu pihak kementerian akan meminta pihak syarikat penerbangan di negara ini untuk mempertimbangkan cadangan ini," jawapan itu dipetik.

Mengenai aspek menutup aurat pula, pihak kementerian berkata, pakaian seragam perlulah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Penerbangan Awam dan International Civil Aviation Organization (ICAO) khususnya berkaitan perkongsian kecemasan.

"Dalam hubungan ini, MAS telah memaklumkan bahawa pakaian pramugari MAS  yang merupakan baju kebaya adalah mencerminkan budaya Malaysia di mana ia mencerminkan identiti Malaysian Hospitality yang diamalkan oleh MAS.

"Kementerian juga telah meminta semua syarikat penerbangan negara untuk membenarkan atau memberi pilihan kepada pramugari beragama Islam memakai pakaian yang menepati dengan syariah Islam," katanya

Tiada ulasan: