Selasa, 24 Jun 2014

‘Kenapa tidak batal sahaja larangan masuk Sarawak?’

teresa1

 Roketkini.com


SIBU: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim menyifatkan larangan yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk memasuki Sarawak hanya menjejaskan nama baik Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Menghargai keputusan Adenan menghentikan sementara larangan itu bagi membolehkan pimpinan Pakatan menghadiri majlis pengebumian mendiang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek Wong Ho Leng, Teresa tetap menggesa Adenan membatalkan sahaja larangan tersebut.

“Memberikan penghormatan kepada Ho Leng adalah tanda ‘gentleman’ dan mesra oleh Ketua Menteri dan kerajaan negeri.

teresa3“Saya mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada beliau yang membenarkan saya masuk ke Sarawak. (Namun) apabila saya tanya kenapa saya dilarang masuk, beliau tidak menjawab.

“Bukankah lebih baik jika beliau membatalkan (sahaja) larangan itu? Larangan tanpa alasan ini hanya menjejaskan nama baik beliau,” kata Teresa menerusi laman Facebooknya.

Ketika kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Balingian Mac lalu, Teresa dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat lain, antaranya Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilarang masuk ke negeri itu.

Namun, Teresa diberi ‘pas istimewa’ selama tujuh hari bagi menghadiri pengebumian mendiang semalam.

Selain pimpinan DAP, Adenan, Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, dan beberapa Menteri Sarawak turut hadir memberikan penghormatan terakhir di kediaman mendiang, petang semalam.

Wong meninggal dunia pada jam 10.50 malam 21 Jun lalu akibat barah otak. Beliau dikesan menderitai penyakit itu pada Disember 2012.

Awal tahun ini, Wong menjalani rawatan di Singapura dan menerima rawatan paliatif di Pusat Perubatan Rejang, Sibu awal tahun ini.

Upacara pengebumian akan diadakan di Gereja Methodist Hwai Tang dan jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Kemuyang, hari ini.

Ini merupakan kehilangan ketiga untuk DAP selepas Pengerusi dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya 17 April lalu dan Ahli Parlimen Teluk Intan Seah Leong Peng akibat barah pada 1 Mei 2014. – Roketkini.com

Tiada ulasan: