Jumaat, 6 Jun 2014

Isma ajak Melayu bersatu atas kebencian – Zairil

zairil surau


Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ketika DAP konsisten mengajak Melayu dan kaum lain bersatu demi kebaikan bersama, Isma hanya menginginkan kesatuan Melayu yang berasaskan kebencian terhadap kaum lain, kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Zairil Khir Johari.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini mengecam Timbalan Presiden Isma Aminuddin Yahaya yang menuduh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berniat menghapuskan kaum serta bahasa dan budaya Melayu.

Tidak cukup dengan itu, Aminuddin menerusi laman web NGO itu turut mendakwa DAP sebagai anti-Islam serta berjuang untuk menghapuskan hak istimewa Melayu dan Bumiputera.

“Ketika Isma ingin Melayu bersatu dalam membenci masyarakat lain, DAP sepanjang kewujudannya sentiasa menginginkan orang Melayu dan kaum lain bersatu demi kebaikan bersama. Siapakah pentaksub dan pelampau di sini?” soalnya.

Zairil turut menasihatkan Aminuddin agar mempelajari sejarah serta dasar perjuangan DAP sebelum membuat sebarang tuduhan melulu.

“Sebelum terus membuat apa-apa kesimpulan tentang DAP, saya cadangkan Aminuddin dan semua rakan-rakannya dalam Isma belajar dahulu sejarah parti ini dengan membaca Perlembagaan Parti dan dokumen penting lain, antaranya Deklarasi Shah Alam, yang menegaskan perjuangan untuk Malaysia yang aman dan bersatu untuk semua warga.

Deklarasi Shah Alam yang diluluskan persidangan DAP pada 8 Januari 2012 antara lain menyatakan hasrat melahirkan bangsa Malaysia, melalui tekad untuk mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan; memelihara kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera, memastikan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain bebas diamalkan dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Perjuangan kami sejak 48 tahun lalu bukan sahaja untuk memupuk jatidiri Malaysia (pada diri setiap rakyat)…tetapi juga untuk menerima persefahaman bersama yang terdapat dalam Perlembagaan 1957.

“Mungkin Aminuddin boleh beritahu, mana satu matlamat kami yang boleh dianggap sebagai percubaan untuk menghapuskan kaum, serta bahasa dan budaya Melayu,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu turut menggesa NGO yang memakai nama Islam itu untuk berhenti membuat tuduhan melulu jika tidak ingin terus dipandang sebagai ‘bayangan’ NGO perkauman, Perkasa.

“Jika Isma terus membuat tuduhan liar, tidak bertanggungjawab dan tanpa asas seperti itu, rakyat hanya akan menganggap mereka tidak lebih daripada Perkasa 2.0 – suara untuk politik jahat dan kasar di negara ini,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: