Jumaat, 13 Jun 2014

Hasan Malek diminta jelaskan isu skandal Bank Rakyat di Parlimen

Oleh Nur Shakira Buang 
 
 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek diminta memberi penjelasan di Dewan Rakyat berhubung isu skandal pinjaman RM32 juta Bank Rakyat yang dikaitkan dengan beliau.
 
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, penjelasan tersebut bukan hanya untuk beliau seorang sahaja.
 
Datuk Mahfuz Omar berkata demikian ketika mendedahkan menerima sekeping nota kecil yang diletakkan di meja beliau dalam Dewan Rakyat pagi tadi dan dipercayai ditinggalkan lewat petang semalam.
 
Dalam nota kecil itu tertulis Hasan berkata: "YB Pokok Sena, bila boleh kita jumpa berbincang isu Bank Rakyat?".
 
Malah, dalam nota itu juga turut disertakan dengan nombor telefon bimbit peribadi Hasan.
 
"Terima kasih kepada Yb Hasan Malek, saya sedia berjumpa dengan beliau pada bila-bila masa sahaja. Tetapi persoalannya dia tidak perlu beri penjelasan kepada saya tetapi kena jelaskan dalam Dewan dan rakyat demi memastikan penjelasan kukuh dijawab di Parlimen.
 
"Dia bukan bertanggungjawab kepada saya tetapi kepada Parlimen" kata Mahfuz pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
 
Pada 30 Mei lalu, Hasan mencabar mana-mana pihak membuktikan beliau melakukan salah laku dalam membuat keputusan agar Bank Rakyat memberikan kemudahan bayaran balik pinjaman RM32 juta tanpa faedah kepada ahli perniagaan Deepak Jaikishan.
 
Malah Hasan menegaskan, kesemua urusan berkaitan syarikat itu dibuat dengan persetujuan lembaga.
 
"Saya bersedia menghadapi pembangkang sekiranya mereka mendakwa adanya salah laku. Segala-galanya yang berlaku mengikut dasar kerajaan, undang-undang dan peraturan," kata Hasan.
 
Mahfuz bagaimanapun tetap mendakwa wujud campur tangan menteri dalam pemberian pinjaman RM32 juta tanpa faedah Bank Rakyat kepada Deepak sekali gus disifatkan sebagai salah guna kuasa.
 
Kata Mahfuz, ini kerana persetujuan oleh lembaga pengarah yang dipengerusikan oleh Tan Sri Sabbaruddin Chik didakwa dibuat 'rela-paksa' sebaik sahaja menerima arahan menteri.
 
Katanya, semasa keputusan pertama lembaga pengarah bank itu telah memutuskan untuk menolak cadangan pinjaman itu. 
 
"Kenyataan Sabbaruddin hanya menafikan laporan berita yang mengaitkan pinjaman itu dengan keluarga perdana menteri tetapi tidak pernah menafikan penglibatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek dalam skandal ini.
 
"Campur tangan menteri memang berlaku. Isu campur tangan menteri yang mengarah pihak lembaga pengarah untuk mmbuat keputusan atas arahan menteri bagi pinjaman itu satu kesalahan dan salah guna kuasa.
 
"Menteri beri ugutan kalau tidak setuju akan dipecat.. ini ugutan yang diperakui Sabbaruddin. Jadi kalau SPRM kata tak ada unsur rasuah mungkin dari segi benda yang diberi atau diterima tapi salahguna kuasa ini adalah unsur rasuah," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: