Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob


SHAH ALAM - Golongan petani dan nelayan di negara ini dinasihati untuk bertenang dan tidak perlu bimbang dengan perlaksanaan sistem percukaian GST yang bakal dikenakan oleh kerajaan menjelang awal tahun hadapan.

Mengulas bagi kenyataan terbabit, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, golongan berkenaan sepatutnya tidak perlu takut kepada perlaksanaan sistem percukaian GST kerana hampir kesemua produk pemakanan yang dipasarkan di negara ini tidak akan dikenakan cukai GST.

"Kerajaan faham bahawa sebahagian besar hasil pendapatan rakyat digunakan untuk membeli makanan, produk perikanan, produk makanan yang datang dari haiwan kebanyakannya zero rated, jadi tidak perlu takut," katanya selepas mengadakan lawatan di Kumpulan Media Karangkraf pada hari ini.

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada 15 Mei lalu, kerajaan telah mengesahkan akan mengeluarkan senarai harga barangan yang dikenakan GST menjelang April tahun hadapan.

Menurut Kementerian Kewangan, setakat ini, sebanyak 689 harga barang telah ditetapkan, manakala harga bagi 255 barangan belum diselaraskan.

Daripada jumlah itu, 10 peratus barangan akan mengalami kenaikan harga seperti makanan yang telah diproses, 48 peratus tidak akan berubah harganya (perkhidmatan hotel dan makanan segera) serta 42 peratus akan mengalami penurunan harga (pakaian dan perabot).