Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh Zulfadhli Zaki Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh Zulfadhli Zaki


KUALA LUMPUR - PKR hari ini mendakwa bahawa kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas petrol dan diesel pada bulan September bagi mengelak bantahan awal rakyat.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata adalah mustahil kerajaan masih belum memutuskan untuk mengenakan GST terhadap dua bahan api tersebut,
memandangkan kerajaan mempunyai masa yang mencukupi untuk berbuat demikian.

"Saya telah menunjukkan bagaimana kutipan GST dari petrol dan diesel ini sekurang-kurangnya akan mencecah RM3 bilion setiap tahun, berdasarkan jumlah penggunaan petrol dan diesel tahunan.

"Jawapan-jawapan kerajaan di Dewan Rakyat setakat ini mengesahkan bahawa kerajaan BN mensasarkan kutipan di antara RM21 bilion hingga RM26 bilion setahun apabila GST dilaksanakan kelak.

"Ini bermakna kutipan GST dari petrol dan diesel adalah di antara 12 peratus hingga 14 peratus dari jumlah kutipan tahunan yang disasarkan oleh BN," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Pengarah Strategik PKR berkata, berdasarkan kiraan yang dibuat, pihaknya menjangkakan kutipan ke atas GST petrol dan diesel adalah kutipan yang tertinggi berbanding barang lain. 

"Sebab itu, saya merasakan mustahil Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Kabinetnya tidak mengambil kira kesan kepada kutipan jika GST dilaksanakan tanpa dikenakan ke atas petrol dan diesel," dakwanya.

Jumaat lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan kerajaan masih belum memutuskan sama ada mengenakan GST atau tidak ke atas petrol dan diesel.