Selasa, 17 Jun 2014

Gabung hakim syarie dan sivil dalam kes tertentu

ZALINA MAIZAN NGAH 


KUALA LUMPUR: Sudah sampai masanya pihak kerajaan menimbang keperluan penggabungan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah bagi kes tertentu melibatkan orang Islam dan bukan Islam, kata Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Siti Zubaidah Ismail.

Beliau (gambar) berkata hakim sivil dan hakim syarie boleh bersidang bersama-sama berdasarkan keperluan yang wujud dalam sesuatu kes dengan bidang kuasa khas.

"Kedua-dua hakim dengan kepakaran undang-undang sivil dan hakim syarie serta kepakaran undang-undang syariah dan perundangan Islam boleh dipertemukan dalam suatu forum untuk menyelesaikan isu-isu yang terlibat," katanya kepada Bernama.

Siti Zubaidah berkata pendekatan yang boleh diambil ialah dengan menggunakan kaedah mediasi dan Mahkamah Syariah juga perlu bersedia untuk menghadapi cabaran penggabungan kepakaran bagi merealisasikan keadilan kepada pihak-pihak yang memohon.

Adalah menjadi tugas pihak badan perundangan untuk memikirkan bagaimana keupayaan hakim itu dapat dipertingkatkan, katanya.

Isu penggabungan dua mahkamah ini bukanlah baharu kerana bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad pernah menyuarakan pendapat yang sama beberapa tahun dahulu namun sehingga kini ia masih tidak dilaksanakan.

Siti Zubaidah berkata cadangan yang dikemukakan Abdul Hamid itu wajar diteliti dan diperhalusi bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem perundangan negara.

"Artikel 121(1A) dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada tahun 1981 menegaskan tentang pengasingan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Ini berikutan wujud permohonan (sebelum tahun 1981) yang membabitkan perkara-perkara yang bidang kuasa perundangan tidak jelas, dibawa ke Mahkamah Sivil melibatkan isu-isu orang Islam.

"Dengan adanya pengasingan bidang kuasa ini, maka pendekatan yang diambil ialah apabila sesuatu perkara berbangkit itu berada di bawah bidang kuasa satu-satu mahkamah, maka mahkamah yang satu lagi tiada hak untuk mendengar kes itu.

"Namun begitu, sekalipun sudah ada pembahagian yang jelas, masih terdapat ruang pertindanan atau 'ruang kelabu' yang memerlukan penyelesaian. Selama ini, penyelesaiannya menimbulkan keresahan dan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak. Ini kerana pendekatan yang diambil ialah menang atau kalah," katanya.

Siti Zubaidah berkata sekiranya bidang kuasa diberikan kepada satu mahkamah untuk membicarakan sesuatu perkara, maka mahkamah yang satu lagi 'kalah' dan tiada boleh campur tangan.

Beliau menyatakan antara 'ruang kelabu' yang sering menjadi "rebutan" ialah kes penceraian ekoran seorang daripada pasangan itu memeluk agama Islam.

"Apabila timbul isu-isu yang memerlukan penyelesaian dari segi hukum fiqh dan sebagainya, pada yang sama hak bukan Islam juga timbul. Perkahwinan asal dibuat berdasarkan kepada Akta Memperbaharui (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Apabila seorang daripada mereka memeluk Islam, kedua-dua pihak mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan. Implikasi daripada perceraian pula mewujudkan lacuna dalam perundangan.

"Ekoran daripada perceraian itu akan timbul pula isu agama dan perebutan hak jagaan anak. Pasangan yang bercerai bukan sahaja berebut hak jagaan anak, malah berebut juga untuk menentukan status agama anak," katanya.

Tambah beliau, pertikaian juga wujud dalam kewangan Islam dan perbankan Islam yang melibatkan pihak bukan beragama Islam.

"Sebagaimana yang telah dihuraikan oleh Tun Abdul Hamid, tidak dapat tidak ia memerlukan kepakaran kedua-dua pihak bersidang bersama demi memutuskan perkara-perkara di luar kerangka bidang kuasa masing-masing. Selagi tidak direalisasikan, kita akan dapat merasakan kekoknya sistem yang ada," katanya.-- BERNAMA

Tiada ulasan: