Ainul Hasnizam ketika melawat Firdaus. Ainul Hasnizam ketika melawat Firdaus.


SHAH ALAM – Syarikat Brahim’s Airline Catering Sdn Bhd yang juga majikan ibu kepada remaja teraniaya, Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui kurus dan kebuluran di sebuah rumah pangsa di Nilai baru-baru ini, mengesahkan akan memberi bantuan yang diperlukan anak-anak wanita tersebut selama ibu dia menjalani tempoh reman.

 Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ainul Hasnizam Abu Hassan berkata, sebagai permulaan, pihak  syarikat akan menyumbang RM5,000 kepada Lola bagi membiayai perbelanjaan yang perlu bagi wanita itu dan anak-anaknya sekiranya dibenarkan keluar dari tahanan.

“Sumbangan  akan diberikan selepas dia keluar dari tahanan reman. Dia juga akan diberi cuti khas selama sebulan bagi memberi peluang dia menguruskan masalahnya,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, syarikat berkenaan mengesahkan tidak mempunyai maklumat mengenai ibu mangsa yang mempunyai seorang anak orang kelainan upaya (OKU).

Sebagai polisi syarikat yang prihatin terhadap masalah pekerja, Brahim's Airline Catering membuat langkah susulan bagi membantu ibu Muhammad Firdaus dengan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pihak syarikat telah berhubung dengan JKM dan mengadakan lawatan ke Hospital Seremban bagi melihat sendiri keadaan Muhammad Firdaus pada hari Isnin dan kelmarin.

“Melalui perbincangan dengan JKM juga, pihak syarikat menyatakan akan menanggung segala perbelanjaan rawatan hospital remaja berkenaan,” menurut Ainul Hasnizam.
Dalam pada itu katanya, pada Isnin lalu wakil syarikat juga mengadakan pertemuan dengan Norfitri Radius, 42, iaitu bekas pengasuh Muhammad Firdaus.

Menurutnya, berhubung persoalan pengasuh, wakil syarikat juga telah membuat perbincangan dengan JKM yang mana pihak syarikat menyatakan akan membayar kepada mana-mana pengasuh perbelanjaan untuk menguruskan anak-anak wanita tersebut selama ibu mereka direman.

Selepas tempoh reman, pihak syarikat berkemungkinan akan mengadakan perbincangan semula berhubung langkah atau bantuan seterusnya yang difikirkan wajar oleh pihak syarikat.

Kini Muhammad Firdaus dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban serta dilaporkan stabil dan semakin pulih.