Khamis, 19 Jun 2014

'Bodoh', 'hodoh' gamatkan hari akhir Dewan Rakyat

SALMIYAH HARUN

.
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan dalam suasana kecoh ekoran penggantungan Ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran selama enam bulan.

Kekecohan berlaku ekoran kekeliruan yang ditimbulkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang meminta perkataan 'bodoh' ditarik balik oleh Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali.

Sebaliknya, Azmin yang sedang mengemukakan Peraturan Mesyuarat menafikan mengeluarkan perkataan bodoh.

"YB Pasir Salak sudah jadi menteri pun perangai masih hodoh," bidas Azmin apabila Tajuddin menyampuk ketika beliau sedang memberi penjelasan kepada Speaker.

"Hodoh, bukannya bodoh!" celah Ahli Parlimen Kapar Manivanan Govindasamy mengundang sorakan di kalangan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Suasana bertambah kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen BN bangun kerana tidak berpuas hati dengan tuduhan itu sambil menggesa Azmin menarik balik perkataan tersebut.

Speaker Datuk Ronald Kiandee juga meminta Azmin untuk menarik balik perkataan tersebut, keadaan terus kecoh.

"Hodoh dengan bodoh tidak boleh Yang Berhormat," kata Ronald.

"Kata minta maaf!"celah Tajuddin.

"Duduklah dulu," tegas Azmin kepada Tajuddin.

Pertikaman lidah terus berlaku dari kedua-dua belah pihak menyebabkan suasana dewan bertambah kecoh.

Bagaimanapun Ronald yang tidak dapat mengawal keadaan itu terus membuat keputusan menerima usul Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang mencadangkan Surendran digantung selama enam bulan.

Ekoran itu, kesemua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun membantah keputusan itu sambil melaungkan 'bantah, bantah, bantah' dan kemudian terus keluar meninggalkan dewan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin bangun mengemukakan Peraturan Meayuarat 27 (3) dan membantah usul menteri berkenaan kerana keputusan yang dibuat oleh Ronald tidak melalui prosedur yang betul dan wujud 'conflict of interest'.

Hanipa bertalu-talu mengemukakan hujah berkaitan Peraturan Mesyuarat namun Ronald tetap bertegas bahawa keputusan itu adalah muktamad dan menerima usul menteri untuk dibahaskan. -

Tiada ulasan: