Rabu, 18 Jun 2014

Bantu peneroka: Azmin, Sivarasa nyaris digantung Parlimen

Oleh Norasikin Samsi


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali nyaris digantung Dewan Rakyat semata-mata mahu petisyen peneroka Felda yang menuntut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memberi lesen individu kepada mereka didengar hari ini.

Turut berhadapan tindakan serupa, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.

Beliau memohon agar Dewan mempertimbangkan semula petisyen itu untuk memberi ruang isu tersebut dibahaskan setelah pelbagai inisiatif sebelum ini tidak dilayan.

“Saya mohon Speaker dengar luahan rakyat, kita mohon untuk bahaskan isu ini,” kata Sivarasa mengemukakan peraturan mesyuarat sebaik sesi soal jawab berakhir jam 11.30 pagi.

Bagaimanapun, usul tersebut ditolak Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia tanpa memberi ruang kepada kedua-dua Ahli Parlimen KEADILAN itu membincangkan isu tersebut.

Pandikar sebaliknya mengesyorkan agar perkara itu dibawa ke dalam usul dan ia boleh dibahaskan secara mendalam.

Menurut Pandikar, keputusan yang dibuat dengan alasan yang jelas dan oleh itu jika ada pertikaian ianya tidak dihormati dan budi bicara tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya dalam isu ini.

Sivarasa mempersoal cadangan Speaker kerana bimbang usul itu nanti juga akan ditolak.

Azmin kemudian turut bangun dan mempersoal alasan Pandikar menolak petisyen berkenaan.

IMG_0342“Alasan Tan Sri lebih kepada pandangan kerajaan. Kenapa pandangan dan keluhan di bawah (rakyat) tidak didengar?

“Kita membawa perkara ini untuk dengar keluhan peneroka kerana mereka terbeban. Sebab itu kita mahu petisyen rakyat didengar dan dibincangkan,” tegas Azmin.

Katanya, masalah rakyat adalah menjadi tanggungjawab semua Ahli Parlimen untuk mencari penyelesaian tanpa mengira parti.

“Adakah dengan membawa petisyen ini telah melanggar peraturan mesyuarat?” tempelak Azmin yang bertalu-talu mempertikai penolakan petisyen terzsebut.

Ketegasan Azmin itu menyebabkan Pandikar berkali-berkali mengarahkan beliau supaya duduk.
Azmin bagaimanapun akur dengan arahan itu, tetapi meneruskan hujahnya di luar Dewan di hadapan peneroka selepas itu.

Semalam, dua Ahli Parlimen KEADILAN, N Surendran (Bagan Serai) dan Fuziah Salleh (Kuantan) diarah keluar dewan kerana enggan duduk setelah Speaker mengarahkan mereka berbuat demikian, selepas kedua-dua mereka membawa petisyen rakyat berhubung projek Lynas di Gebeng, Kuantan.

Tiada ulasan: