Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh


KUANTAN - Seorang penternak kerugian kira-kira RM100,000 selepas 29 ekor lembu miliknya hilang dipercayai dilarikan pencuri dalam kejadian di Kampung Pahang, Jalan Sungai Soi di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seorang pekerja ladang berusia dalam lingkungan 30-an turut diikat penjenayah yang dipercayai seramai lapan orang bersenjatakan pistol.

Ketua Polis Daerah Kuantan,  Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata,  suspek dipercayai menggunakan sebuah lori masuk ke dalam kawasan ladang itu sebelum menahan dan mengikat pekerja.

Menurutnya, suspek bertindak memindahkan lembu-lembu itu ke dalam lori sebelum beredar.

“Pekerja terbabit berjaya melepaskan diri dan memaklumkan kejadian kepada majikan sebelum melaporkan kepada pihak polis.

“Berdasarkan keterangan pekerja terbabit, dia mendakwa penjenayah membawa lari haiwan ternakan itu menggunakan lori, bagaimana pun jenis dan nombor pendaftaran gagal dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pihaknya juga masih dalam siasatan sama ada pistol yang digunakan suspek seperti yang didakwa pekerja itu senjata api sebenar atau tiruan.

“Usaha menjejaki suspek kini giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Penjenayah dipercayai bertindak mencuri haiwan ternakan tersebut ekoran permintaan tinggi terhadap daging lembu untuk kenduri perkahwinan sempena cuti sekolah kali ini.