Rabu, 4 Jun 2014

1MDB; yang tidak kita ketahui, dan yang tidak pula kita peduli

1mdb feat


Izmil Amri


Tahukah anda bahawa syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad atau singkatnya 1MDB itu mulanya wujud sebagai Terengganu Investment Authority? Tahukah anda juga bahawa 1MDB ini bidang niaganya cuma tiga: Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia dan penjanakuasaan elektrik?

Tahukah anda lagi bahawa 1MDB kini dibebani hutang bernilai lebih USD11 bilion atau RM30 bilion? Dan tahukah anda juga bahawa hutang berbilion ringgit ini dijamin separuhnya oleh Kerajaan Malaysia?

Sebagai marhaen yang tidak pandai bab-bab wang ringgit dan bisnes, apalah yang kita tahu soal dana kekayaan negara. Namun apabila dikhabarkan bahawa semua ini ada kaitannya dengan hutang negara yang kian memuncak dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mungkin banyak antara kita yang mula tersentak.

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita berbincang seketika mengenai dana kekayaan negara atau yang disebut dalam bahasa Inggeris ‘sovereign wealth fund’.

Di seluruh dunia, dana kekayaan negara ini adalah dana yang dimulakan dengan keadaan sesebuah negara itu tidak mempunyai hutang. Ia ditubuhkan dengan dana daripada belanjawan lebihan, dan selalunya apabila sesebuah negara itu bergantung kepada eksport barang mentah seperti minyak.
Setakat itu sahaja kita boleh faham bahawa dana kekayaan negara ini adalah a) milik negara, dan b) negara dalam keadaan kaya, tidak berhutang.

Namun berbeza dengan negara-negara lain itu, 1MDB wujud dalam keadaan hutang negara berada pada tahap 53.8% daripada KDNK sekadar kurang 1.2% daripada kadar hutang yang dibenarkan undang-undang, iaitu sebanyak 55% daripada KDNK.

KDNK ini benda apa pula? KDNK ini singkatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, atau dalam bahasa Inggerisnya disebut Gross Domestic Product. Ini nilai yang digunakan untuk mengukur ekonomi sesebuah negara berdasarkan nilai keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah negara dalam satu-satu masa.

Ukuran KDNK ini pula meletakkan, secara asasnya negara manakah yang lebih kukuh ekonominya dari segi hasilan tahunan. Sebagai contoh mudah, berdasarkan bacaan Bank Dunia pada tahun 2012, Singapura dan Brunei meninggalkan Malaysia jauh di tangga ke-4 dan ke-5 berbanding kita yang berada di tangga ke-48 dalam hal KDNK ini.

Maka asasnya sekarang ialah, Malaysia punya KDNK yang tidak seberapa; dan nisbah hutang negara kepada KDNK itu pula sudah lebih daripada separuh. Negara yang ekonominya sedemikian rupa boleh dibandingkan dengan rakyatnya yang siang malam membanting tulang bekerja hanya untuk membayar hutang-hutang kereta, rumah dan sebagainya. Kata pepatah moden, “Gaji, dari bank kau datang, kepada bank kau kembali.”

Dalam keadaan ekonomi yang sedemikian itu, Perdana Menteri kita yang bijak bistari, Datuk Seri Najib Razak, membuat keputusan untuk menubuhkan 1MDB, sejajar dengan penjenamaan semua benda dengan kalimat 1Malaysia. 1MDB disebut sebagai makhluk hybrid antara dana kekayaan negara dan syarikat pelaburan swasta.

Apa yang dibuat 1MDB? Seperti yang tadi disebut, 1MDB mempunyai sekadar tiga operasi utama. Jika anda sering melazimi lebuhraya Sungai Besi menuju pusat bandar, dua daripada operasi ini akan jelas kelihatan. Satunya belum nampak rupa di lapangan terbang TUDM di Sungai Besi itu, disebut dalam laman web 1MDB sebagai Bandar Malaysia; manakala satu lagi letaknya berhampiran Bulatan Pandan menghala ke pusat bandar. Ya, kawasan yang berpagar tetapi kosong itu yang mulanya dipanggil KL International Financial District, namun kini diberi nama Tun Razak Exchange.

Dua tapak tanah ini menjadi pengeras kepada pinjaman dan hutang ditanggung 1MDB yang sehingga kini mempunyai liabiliti lebih USD13 bilion, dan sekadar mampu menghasilkan sekitar RM860 juta daripada operasi tahunan yang tidak pun cukup untuk menampung faedah pinjaman USD1.62 bilion.
Reuters melaporkan bahawa 1MDB sepatutnya rugi RM1.85 bilion, namun diselamatkan oleh penilaian semula hartanahnya yang bernilai RM2.7 bilion.

KLIFD ini pula ceritanya adalah sebuah rancangan pembangunan hartanah seluas 34.4 hektar yang mahu diusahakan secara bersama antara 1MDB dengan Mubadala Development Company, sebuah syarikat berpusat di Abu Dhabi.

Nak dijadikan cerita lagi, upacara pecah tanah KLIFD atau Tun Razak Exchange ini pula telah dijadualkan lebih empat tahun lalu. Jemputan ke majlis gilang-gemilang yang bakal dirasmikan Najib Razak dan Syeikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan, putera mahkota Abu Dhabi, diberikan kepada beberapa orang kenamaan dan pihak media. Namun pada saat-saat akhir majlis pecah tanah tersebut, pihak media dimaklumkan bahawa acara tersebut dibatalkan, tanpa sebarang alasan. Yang tinggal sekarang hanyalah pagarnya sahaja.

Dalam jangkamasa sama juga 1MDB turut menandatangani usahasama pembangunan hartanah bersama Qatar Investment bagi tapak yang kini merupakan lapangan terbang TUDM di Sungai Besi.
Tanah milik kerajaan seluas 196 hektar itu akan dipindahkan ‘dari tangan kanan ke tangan kiri’ dan akan digunakan untuk pembangunan bercampur demi meningkatkan nilai hartanah terbabit.

Semua ini bunyinya hebat dan indah sekali sehinggalah kita mempertimbangkan masalah kewangan yang sedang dihadapi syarikat pelaburan negara ini.

Dalam sidang Parlimen Oktober tahun lalu, Perdana Menteri gagal menjawab soalan yang diutarakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng tentang status jaminan kerajaan terhadap pinjaman-pinjaman 1MDB yang sehingga takat tersebut berjumlah lebih RM38 bilion. Najib sekadar menjawab bahawa kerajaan tidak menjamin keseluruhan pinjaman 1MDB, tetapi cuba RM5 bilion sahaja.

Syarikat ini kemudiannya dilaporkan berjaya memperolehi penangguhan terhadap pinjaman sementaranya dari Maybank Investment Bank sebanyak RM6.1 bilion sementara ia mengaturkan tawaran permulaan awam (IPO) bagi mengumpulkan dana bagi aset janakuasanya untuk membayar hutang-hutang berkenaan. Pinjaman Maybank tersebut kini harus dilangsaikan menjelang November.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua giat mendedahkan beberapa aktiviti kerajaan yang nampaknya cuba memberi nyawa kepada syarikat milik penuh kerajaan yang menanggung hutang sebesar gunung ini. Antara aktiviti tersebut termasuklah penganugerahan tender loji janakuasa tenaga solar yang bakal menyediakan elektrik untuk dibeli pula oleh Tenaga Nasional Berhad supaya boleh diedarkan kepada rakyat yang akhirnya akan terpaksa menanggung bil elektrik lebih tinggi demi memastikan 1MDB mampu membayar hutang-hutangnya.

Yang menjadi kerunsingan kita setakat ini ialah perihal syarikat ini yang meski kelihatan seperti sebuah syarikat swasta adalah syarikat milik penuh kerajaan. Dan meski kerajaan sekadar menjamin sebahagian kecil daripada hutangnya yang menggunung, persoalan yang lebih penting ialah siapa pula yang menjamin hutang-hutangnya yang lain itu, dan bila pula 1MDB akan mampu melangsaikan kesemua hutang-hutangnya?

Adakah rakyat Malaysia akhirnya akan terpaksa menjadi pak sanggup untuk membantu melangsaikan hutang-hutang ini secara berjemaah melalui perbelanjaan sehari-hari dan cukai GST yang bakal dilaksanakan tahun depan? Umum tahu bahawa sesebuah kerajaan kaya tidak perlu mengenakan bermacam-macam cukai ke atas rakyat, manakala kerajaan yang tidak cukup duit sahaja yang akan giat mencukai rakyat demi mengisi kelompangan dalam pengurusan kewangannya yang gagal.

Gali lubang, tutup lubang. Cumanya lubang 1MDB ini barangkali tidak akan pernah mampu dikambus lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: