Wanita MCA lancar kempen tolak hudud  
Seai Kei (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Wanita MCA Perak, hari ini.
IPOH – Wanita MCA akan melancarkan kempen ‘Say No To Pas Hudud’ dengan mengumpul tandatangan sebagai menolak hasrat Pas membentangkan usul di Parlimen untuk menjalankan hukum hudud di Kelantan.

Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kei berkata, partinya masih menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara namun, bangsa lain diberikan hak kebebasan mengamalkan agama mereka sendiri mengikut peruntukan perlembagaan.

“Ia selaras dengan penubuhan negara sejak kemerdekaan yang mengutamakan konsep intergrasi perkauman dan bukan asimilasi. Perpaduan harus diutamakan demi keharmonian terutama negara kita yang mempunyai bangsa yang majmuk.

“Wanita MCA bertekad untuk memelihara masyarakat negara yang bersepadu dan aman damai demi keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MCA di sini, hari ini.

Beliau menggalakkan rakyat untuk menyokong kempen terbabit terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan agama dan kesatuan wanita.