Ahad, 11 Mei 2014

Wan Azizah: Dulu rawat pesakit, kini rawat masalah rakyat Kajang

KEADILAN DAILY


KAJANG : Tanggungjawab Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada masyarakat tetap berterusan. Jika dahulu doktor mata ini pernah menyumbang bakti kepada pesakit, kini beliau berkhidmat untuk penduduk Kajang, sejurus menjawat jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, 23 Mac lalu.

longkang 1Sebaik memenangi Pilihan Raya Kecil DUN itu, Wan Azizah yang mesra dipanggil ‘Kak Wan’ menumpu gerak kerja pertama terhadap penyelesaian masalah pengurusan sampah yang sudah 10 tahun menghantui penduduk Kajang.

Perkara itu juga dibangkitkan beliau pada penampilan pertamanya di persidangan Dewan Negeri Selangor, bulan lalu.

Masalah berkenaan turut dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bagi mencari tapak pelupusan sampah yang baru.

Kak Wan juga telah beberapa kali turun padang meninjau ke tapak tersebut selain mengadakan siri pertemuan bersama pihak berwajib, termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Terbaharu petang semalam, beliau bersama Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat meninjau kawasan Sungai Sekamat dan Kantan Permai yang terjejas akibat banjir.

Pemerhatiannya mendapati, longkang di Sungai Sekamat sumbat dan dipenuhi sampah sarap.

“Alhamdulillah wakil Jabatan Kejuruteraan MPKj yang hadir sama dalam lawatan Kak Wan, berjanji akan bertindak segera menyelesaikan masalah penduduk.

“MPKj berjanji akan mendalamkan longkang dan membersihkan segala sampah sarap yang ada, bagi memastikan tiada lagi longkang tersumbat, dengan itu ia boleh membantu mengelakkan banjir,” kata Kak Wan.

Masalah serupa turut dialami masyarakat Kantan Permai. Dalam lawatan beliau juga bersama Dr Rosli serta ahli-ahli majlis mendapati, banjir tersebut akibat kecuaian pemaju projek di kawasan berhampiran.

“Kak Wan meminta MPKj bertegas memantau kerja-kerja pemaju untuk memastikan operasi mereka tidak menjejaskan rakyat.

“Alhamdulillah pemaju bertindak pantas menghantar pekerja-pekerja mereka membersihkan sampah dan berjanji untuk membina penghadang banjir bagi memastikan ia tidak berulang,” ujarnya.

JPS dan pihak terlibat mesti bertanggungjawab

WawiTegas beliau, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) perlu bertanggungjawab menguruskan pemantauan dan merekodkan masalah, seterusnya mengambil tindakan susulan pembaikan dengan kontraktor yang dilantik.

Katanya, JPS perlu memantau setiap premis memasang perangkap sampah, supaya sampah tidak terus mengalir ke sungai dari parit sekitar.

“Kak Wan sebagai doktor mengambil ‘angle’ untuk menjaga kebersihan, supaya kesihatan rakyat menjadi keutamaan Kak Wan. Apa pun, semua tempat mesti bersih dari nyamuk, lalat, tikus dan lain-lain,” jelasnya.

Untuk itu, beliau menggesa Jabatan Kesihatan Majlis (MPKj) dan Federal (Pusat) untuk turut hadir dalam setiap lawatan tapak yang dilawati.

“Mereka terpaksa ‘follow-up’ untuk Kak Wan dengan JPS, Perkhidmatan Perbandaran (Urban Service) dan Jabatan Kejuruteraan.

“Semua pihak tanpa mengira latar belakang politik, mesti bekerjasama untuk memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat. Ini yang sentiasa Kak Wan tekankan,” katanya.

“Kak Wan berjanji dengan penduduk, Kak Wan akan ‘follow-up’ dan pastikan MPKj menjalankan tugas mereka dengan baik, InsyaAllah,” katanya lagi di twitter pagi ini.

Tiada ulasan: