SHAH ALAM - Tindakan ahli Pemuda Umno Wilayah Persekutuan membuat kecoh di ibu pejabat DAP kelmarin hanyalah lakonan semata-mata untuk membangkitkan agenda perkauman dan membodek pimpinan atasan.
Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat mendakwa, tindakan itu sudah diduga agar parti itu dilihat terus berkuasa di negara ini.
"Aksi-aksi ganas di Dun atau cubaan merosakkan pejabat DAP adalah ramuan yang cukup untuk Perkasa dan Isma menyambut lakonan pemuda Umno," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Terdahulu, Adun Seri Delima, RSN Rayer dilaporkan mengeluarkan perkataan kesat terhadap pemimpin Umno ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri, Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Selasa lalu.
Ekoran tindakannya itu, pemimpin beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda Umno Pulau Pinang menyerbu masuk ke dalam dewan sidang Dun Pulau Pinang keesokkan harinya untuk mencari Rayer.
Bantahan sama diikuti Khamis lalu apabila beberapa ahli Pemuda Umno Wilayah Persekutuan turut mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Ibu Pejabat DAP di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
Bantahan yang pada mulanya bertujuan untuk menyerahkan memorandum bertukar kecoh sehingga menyebabkan pihak polis terpaksa menutup jalan dan mengawal kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan