Jika ikutkan semangat sesetengah pemimpin
Umno, ada yang mahu hudud dilaksanakan segera, dan kadang-kala lebih
bersemangat daripada pemimpin PAS.
Menurutnya, walaupun pada ketika ini majoriti pemimpin Umno bersetuju untuk bersama PAS bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan, sebaliknya keputusan berbeza pula yang diambil oleh DUN Terengganu yang secara keseluruhannya ditadbir oleh pemimpin Umno.
“Jika ikutkan semangat sesetengah pemimpin Umno, ada yang mahu hudud dilaksanakan segera, dan kadang-kala lebih bersemangat daripada pemimpin PAS. Dalam keadaan Terengganu yang didukung oleh Umno, mereka sepatutnya menangguh dahulu keputusannya, bukan menolak hudud bulat-bulat,” kata beliau ketika menulis dalam kolum mingguannya di Harakah Daily.
Sebelum ini, memang tidak dinafikan iaitu mendiang Karpal Singh yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, secara keras menolak hudud untuk dilaksanakan.
“Karpal memang menegaskan dari dulu lagi tidak akan menerima hudud. Dia boleh berkawan dengan pejuang hudud tetapi tidak akan menerima hudud dan sikap Karpal itu adalah sikap yang dibawa DAP setakat ini.
“Karpal dan DAP adalah musuh Umno yang tiada tolak bandingnya. Semua yang datang dari Karpal dan DAP mesti akan ditolak oleh Umno kecuali dalam isu hudud,” ujarnya.
Tambah Subky yang juga wartawan veteran yang terkenal, apa yang DUN Terengganu lakukan baru-baru ini adalah melaksanakan apa yang Karpal dan DAP mahukan.
“Seandainya Karpal masih bersama kita sekarang, maka dialah orang yang paling gembira dengan sikap dan tindakan yang diambil DUN Terengganu,” katanya.
Maka, siapa yang DUN Terengganu ikut, apabila DUN tersebut menolak perlaksanaan hukum hudud baru-baru ini. Secara logiknya, DUN Terengganu telah mengikut keputusan Karpal, walaupun Karpal tidak berjumpa dengan Umno Terengganu dan meminta mereka menolak cadangan yang dibawa oleh PAS.
“Memang sikap rasmi Umno selama-lamanya adalah bersama Karpal menentang hudud. Tetapi sekarang ini Umno telah menunjukkan tanda-tanda untuk berubah menyokong hudud. Umno juga menyuarakan hasratnya untuk bersiap-sedia berbaik dengan PAS sekiranya PAS tidak lagi bersedia menjadi kuda tungangan DAP,” jelasnya.
Katanya lagi, dalam isu hudud ini, nyata PAS tidak dapat dikawal oleh Karpal, sebaliknya dikatakan Umno tidak mahu masuk perangkap PAS jika menyokong hudud, maka Umno terengganu bersedia bersama DAP dan Karpal menentang hudud.
“Apa pun setakat ini kita belum boleh fikir Umno menjadi kuda tunggangan Karpal
atau DAP, tetapi dalam isu hudud, Umno boleh bersama DAP dan Karpal Singh atau sekurang-kurangnya mengikut Karpal,” katanya.
Menurut Subky lagi, PAS memang dari mula lagi telah tahu berkenaan pendirian Karpal tentang hudud. Jika dia tidak dapat menerima hudud boleh difahami kerana ia tidak termasuk dalam ajaran agamanya.
“Hudud hanya ada pada Islam dan sebahagian daripada akidah syariat Nabi Musa dan ia juga adalah syariat Nabi Isa al-Masih,” ujarnya.
Katanya lagi, orang Yahudi selepas zaman Nabi Musa memang tidak lagi berpegang dengan hukuman mengikut syariat Nabi Musa itu dan demikian juga orang Kristian yang mengaku Jesus adalah ikutan mereka, tetapi mereka juga menolak hukum yang disyariatkan oleh Nabi Isa al-Masih.
“Orang Islam pada masa kini juga sama dengan umat yang terdahulu, tidak berpegang kepada syariat Nabi Muhammad SAW, tetapi sehaluan dengan Karpal, baik Karpal masih ada atau tidak ada,” katanya.
Pada 15 April lalu, Speaker DUN Terengganu, Mohd Zubir Embong telah menolak usul yang dibawa oleh ADUN Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, di bawah peraturan mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan