Rabu, 7 Mei 2014

Siti Zailah menyelar ulama muda Umno


Siti Zailah Mohd Yusoff Hadis mana yang digunakan dan ayat al-Quran mana yang beliau rujuk.


PETALING JAYA: Dewan Muslimat PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan biadab dan kotor oleh Setiausaha Ulama Muda Umno, Abu Amru Radzi Othman dalam laman sosial Facebook yang mengatakan muslimah bertudung labuh yang menyertai himpunan membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai pelacur kelas atasan.

Menurut  Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusoff (gambar),  tindakan tersebut adalah sangat biadap dan tergamak beliau membuat tuduhan dan fitnah yang bertentangan dengan syarak dan akal yang waras.

“Apakah mereka menggangap wanita yang tidak hadir himpunan ibarat pelacur kelas bawahan dan yang hadir himpunan adalah pelacur kelas atasan, hadis mana yang digunakan dan ayat al-Quran mana yang beliau rujuk sehingga tergamak untuk membuat tuduhan kepada para muslimah,” ujarnya di dalam posting Facebook.

Beliau yang juga ahli parlimen Rantau Panjang berkata  beliau juga merupakan seorang muslimah bertudung labuh, dan tujuan bantahan tersebut diadakan adalah bagi membantah perlaksanaan cukai GST yang akan bermula pada April tahun hadapan.

“Kami bantah perlaksanaan cukai GST bukan sahaja di himpunan 501, di dalam Parlimen pun kami bantah. Kita ingin selamatkan rakyat daripada terus ditekan dengan kos hidup yang tinggi dan harga barang pula semakin mahal dan ditambah dengan perlaksanaan cukai GST sebanyak enam peratus akan menambahkan lagi penderitaan hidup rakyat,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, apa yang dilakukan oleh beliau adalah untuk membela nasib rakyat yang semakin tertindas dan menggesa agar Umno bertanggungjawab di atas kenyataan yang dikeluarkan.

abu amru
abu amru1

“Kita ingin membela nasib kaum buruh, petani, nelayan miskin, ibu tunggal  miskin, dan juga rakyat miskin, tetapi kenapa kami pula dituduh sebagai pelacur kelas atasan. Umno harus bertanggungjawab di atas perkara ini?” soalnya.

Dalam pada masa itu, kenyataan Zailah  turut disokong oleh ADUN Kajang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang kecewa dengan kenyataan Setiausaha Ulama Muda Umno itu.

“Mengapa Ulama Muda Umno terlalu biadap sehiingga sanggup menghina kaum wanita yang berhijab?” soalnya.

Wan Azizah turut menyeru agar setiap golongan wanita bangkit berjuang menegakkan kebenaran tanpa perlu mengira mana-mana fahaman politik.

“Hal sebegini kita tidak harus biarkan, walau apa juga fahaman politik, golongan wanita harus bangkit berjuang menegakkan kebenaran kerana kita tidak seharusnya dihina sebegini rupa,” katanya.

Tiada ulasan: