Anak Mami Di Perantauan
Universiti Teknologi MARA juga hak Melayu. Sekurang-kurangnya itulah yang didakwa beberapa pihak. Walaupun kadang kala tidak disebut hak Melayu, tapi ditulis ‘Hak Bumiputera’; supaya yang di Sabah dan Sarawak tidak tersalah sangka. Hak Bumiputera, sepertimana yang lain-lainnya juga tidak boleh diganggu gugat.
Jangan ada yang mencabar UiTM yang diperakui haknya oleh yang Melayu dan Bumiputera. Kalau cabar, nescaya dikerah seluruh tenaga kerja UiTM bersekali dengan anak-anak mahasiswanya untuk mempertahankan benteng terkahir umat Melayu, eh salah, Bumiputera itu. Puluhan ribu akan turun ke jalanraya, pantang undur, rela bermandi darah sekiranya hak Melayu, eh Bumiputera, dicabar. Payung jangan lupa, takut nanti hujan.
Maka untuk yang begitu sekali berkehendak dengan UiTM itu sebagai harta miliknya, ambillah. Simpanlah UiTM hak kamu itu dalam kelambu. Belailah ia di malam sunyi sewaktu payah mahu tidur sambil bernanyi lagu ‘Anak kecil main api’, hingga terlena dipangku bantal yang lencun dibasahi air mata patriotisme.
Simpan. Kami tidak mahu.
Sebaliknya binakan lagi satu universiti seperti itu. Ya, sebuah universiti dengan prasarana lengkap dan berkualiti serupa, untuk anak-anak Malaysia selain Bumiputera yang ibu-bapanya tidak punya biaya.
Eh, takkanlah kerajaan 1Malaysia tidak sanggup membela nasib anak bangsa selain yang Bumiputera? Takkanlah hanya bina UiTM untuk kemasukan anak-anak menteri berkereta mahal belaka? Bagaimana pula anak pekebun kecil yang tiada wang belanja, yang makan bersukat dan tiada dana berfoya-foya?
Bukan itu sahaja, apa kata kembalikan UiTM kepada asalnya. Ya, hadkan kemasukan untuk anak-anak keluarga miskin sahaja. Yang kaya berharta, penyokong UMNO belaka kan tidak mahu pendidikan percuma? Nah, apa susah; suruhlah yang kaya berharta ini semua masuk institusi swasta.
Biar anak miskin dari keluarga susah yang tahu harga diberi peluang berbakti kepada negara, hasil pendidikan dibiayai rakyat jelata. Boleh? – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan