Jumaat, 16 Mei 2014

Serangan ke atas rahib di Seremban menyedihkan, kata Najib

THE MALAYSIAN INSIDER


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) menyifatkan serangan dan perbuatan menyamun dua orang rahib di Seremban semalam sebagai menyedihkan dan tidak berhati perut.

Beliau berkata pihak polis komited dalam mencari pelakunya dan membawa mereka ke muka pengadilan.

"Saya berharap Sister Julianna Lim dan Sister Mary-Rose segera sembuh," katanya dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Julianna Lim, 69, dan Mary-Rose, 80, diserang dengan topi keledar dan disamun seorang lelaki kira-kira pukul 6 pagi di luar Gereja Visitation.

Mereka didapati tidak sedarkan diri di pintu masuk gereja. Kedua-duanya baru tiba dari rumah dan hendak memasuki gereja apabila diserang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh hari ini berkata samun merupakan motif serangan dan bukan berpunca daripada jenayah kebencian.

Beliau berkata beg kedua-dua rahib itu yang hanya mengandungi sedikit wang dan telefon bimbit hilang dan polis mengklasifikasi kes itu sebagai sengaja mendatangkan kecederaan semasa menyamun.

Lim yang cedera ringan di kepala dan muka masih bergantung kepada alat pernafasan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan masih belum sedarkan diri sementara Mary-Rose telah sedar. – Bernama,

Tiada ulasan: