Seludup  4WD curi ke Timur Tengah Pacuan empat roda antara kenderaan yang sering digunakan kerana tahap ketahanannya bergerak di kawasan padang pasir - Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR- Kenderaan pacuan empat roda jenama popular  yang dicuri di negara ini kebanyakannya diseludup keluar untuk pasaran gelap  negara-negara  Timur Tengah dan Afrika untuk kegunaan  kumpulan militan  termasuk pengganas.

Malah melalui risikan pihak polis,  selain daripada digunakan untuk kegiatan haram, kebanyakan pacuan empat roda dari Malaysia terutama dari jenama Toyota Hilux yang dicuri menjadi pilihan  kerana ianya tahan lasak serta boleh digunakan dalam apa jua jenis keadaan termasuk mampu meredah padang pasir dan bukit-bukau.

Malah lebih mengejutkan apabila ada di antara kenderaan yang dicuri ini digunakan oleh kumpulan pejuang ini  untuk melancarkan  serangan termasuk digunakan pengebom berani mati.

Ketua Penolong Pengarah Risikan Jenayah, Operasi dan Rekod (D4), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abd. Manaf Abd. Razak berkata,  pihaknya  turut tidak menolak kemungkinan sindiket curi kenderaan  di negara ini memasarkan pacuan empat roda curi berkenaan kepada orang tengah sebelum ianya dijual kepada kumpulan  pengganas yang membelinya  dengan harga mahal.

Menurut beliau,  kenderaan diseludup melalui jalan laut kerana ianya dikatakan  lebih selamat dan sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

“Statistik Januari hingga Mac 2014 menunjukkan  sebanyak 297 pacuan empat roda jenis Hilux dicuri sekitar Lembah Klang namun jumlah itu berkurangan kepada 40 hingga 45 buah pada April lalu selepas kita melancarkan ‘Ops Lejang Mega’,”katanya ketika ditemui,semalam.

Menurutnya, purata kehilangan kenderaan jenis ini dalam sehari ialah sebanyak empat buah. Meskipun dilengkapi sistem keselamatan canggih, pencuri kereta berkenaan cukup arif dengan jenama ini menyebabkan kegiatan ini sukar dibendung.

"Lazimnya pencuri akan mendapat bayaran secara tunai dan kemudian  pacuan empat roda ini  diletakkan di satu lokasi, sebelum  pihak kedua  tiba dan membawa kenderaan itu  ke lokasi lain, samaada untuk dileraikan ataupun terus diseludup keluar.

Di negara-negara bergolak  tiada kenderaan baru dijual, jadi cara paling mudah untuk mendapatkan kenderaan ialah mencari orang tengah yang boleh membekalkan kenderaan curi kepada kumpulan pejuang ini,”katanya.

Menurutnya orang tengah memainkan peranan besar untuk memastikan keperluan kumpulan pengganas ini dipenuhi dan mencari rangkaiannya di seluruh dunia.

“Mereka dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket tempatan dan   seramai lima suspek kumpulan ini sudah ditahan dan mereka sudah mengaku menyeludup lebih 30 buah kereta ke Dubai melalui jalan laut,”katanya.

Menurutnya lagi, setiap kontena yang diseludup boleh memuatkan tiga buah kenderaan pacuan empat roda namun ada di antara kenderaan ini dileraikan mengikut keperluan tempahan,

“Mereka potong pacuan empat roda kepada dua bahagian, depan dan belakang, ini kerana di negara berkenaan tiada sebarang alat ganti dijual dan dengan cara ini setiap kenderaan milik pengganas yang musnah dalam pertempuran dapat diganti atau dibaik pulih dengan segera kerana keadaan amat mendesak. Malah dengan cara ini juga kerja menyeludup keluar kenderaan curi dapat dilakukan dalam kuantiti yang banyak.

Kerja-kerja meleraikan komponen pacuan empat roda lazimnya dilakukan di kawasan terpencil termasuk di dalam gudang dan sindiket akan mengupah warga asing untuk melaksanakan tugas ini,"katanya.

Menurut belIau lagi, kehilangan lebih 2000 pacuan empat roda setiap tahun di negara ini berpunca dari rangkaian sindiket ini  yang  dipercayai mempunyai kaitan dengan Geng Robin Hai.

“Ini berdasarkan kejayaan polis mematahkan cubaan menyeludup kenderaan berkenaan  melalui Pelabuhan Klang dan menjumpai semula 10 buah pacuan empat roda bernilai RM 1.9 juta pada Mac yang lalu yang bakal dihantar ke Pelabuhan Jabel Ali, Dubai selain bakal dijual untuk pasaran   Emiriah Arab Bersatu (UAE),”katanya.

Menurut Abd. Manaf, kegiatan ini juga sukar dikesan kerana  lazimnya sindiket mengisytiharkan sebagai barangan lain dan mereka turut menggunakan identiti syarikat serta  penghantar palsu bagi mengelak dikesan  pihak berkuasa.