SHAH ALAM - Gara-gara merompak seorang peniaga sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM2,400, dua anggota polis berpangkat lans koperal dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Slamat Yahya selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes.
Robin Anak Imbal, 30, dan rakan sekerja, Muhammad Fitri Mad Salleh, 30, dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan mengambil wang tunai RM1,000, dua unit telefon bimbit jenama Samsung Note dan Nokia, printer, simkad hotline dan empat digit helai kertas milik Lim Poh Wah, 31, dan Tan Keh Shin, 29.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 53, 55 Restoran Century Court, Jalan Prepat 27/95, Seksyen 27, Shah Alam, jam 4 petang, 14 November 2012.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fazreen Othman mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Nur Fazreen memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada masyarakat dan juga anggota polis.
"Sepatutnya, polis dipertanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya,"katanya.
Peguam, Awangku Mohd Shaiful Nizam PG Mohd Noor yang bertindak mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman perlaksanaan ditangguhkan ke atas anak guamnya dengan alasan salah seorang daripada mereka akan menyambut Hari Gawai hujung bulan ini.
Hakim membenarkan permohonan tersebut dengan syarat kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan