Isnin, 5 Mei 2014

Rumah Pengarah Jabatan USM dirompak tiga lelaki

BERNAMA


GEORGE TOWN: Seorang pengarah di sebuah jabatan di Universiti Sains Malaysia (USM) kerugian lebih RM21,000 selepas rumah dua tingkatnya di Changkat Minden, Gelugor di sini, dirompak tiga lelaki dipercayai warga asing.
  
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa yang berusia 52 tahun, isteri dan empat anaknya turut berdepan detik cemas selepas diikat kumpulan perompak berkenaan sambil leher mereka diacu dengan parang.
  
Jurucakap polis berkata mangsa dan anggota keluarganya sedang nyenyak tidur sebelum kesemua mereka dikejutkan dengan kehadiran suspek yang bersarung tangan dan menutup muka.
  
"Ketika itu, dua anak lelaki mangsa berada di aras bawah manakala mangsa bersama isteri serta dua anak perempuannya berada di dalam bilik berasingan di tingkat atas," katanya di sini.
  
Anak lelaki mangsa berusia 17 dan 18 tahun manakala anak perempuannya berumur 10 tahun dan 5 tahun.
  
Jurucakap polis berkata kejadian itu hanya disedari mangsa selepas terdengar bunyi bising di luar bilik tidurnya sebelum seorang suspek menghampirinya dengan bersenjatakan sebilah parang.
  
"Dia (mangsa) tidak berani melawan suspek kerana bimbang dengan keselamatan empat anaknya. Suspek yang memakai baju hitam kemudian mengarahkan kesemua mereka berkumpul di dalam sebuah bilik.
  
"Ketika itu, tangan masing-masing diikat dengan tali beg, reben dan penyangkut baju serta mereka diarahkan diam. Tiga suspek berkenaan bertindak menggeledah bilik mangsa untuk mendapatkan barang berharga," katanya.
  
Ketiga-tiga suspek itu yang bertutur dalam bahasa Indonesia kemudian melarikan diri selepas mengambil pelbagai barangan berharga termasuk dua komputer riba, lima telefon bimbit, jam tangan, seutas rantai emas dan wang tunai RM2,000.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan ia disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
  
"Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati suspek dipercayai masuk melalui pintu ruang tamu rumah mangsa," katanya.

Tiada ulasan: