Isnin, 26 Mei 2014

Rela: Pemuda PAS lapor polis terhadap Zahid

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR 



 


TELUK INTAN: Pemuda PAS Perak membuat laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa beliau mengetahui identiti anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang tidak turun mengundi.

Laporan tersebut diketuai oleh Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Teluk Intan dekat sini hari ini.

Fakhrulrazi berkata, Pemuda PAS menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahmad Zahid di Sekolah Kebangsaan Kampung Selabak, Teluk Intan semalam terhadap 8,639 orang anggota Rela yang layak mengundi di dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan.

Menurutnya, kenyataan Naib Presiden Umno itu menunjukkan bahawa undi bukan lagi menjadi perkara rahsia bagi petugas-petugas Rela.

Katanya, Zahid tidak sepatutnya menggunakan kedudukannya sebagai menteri untuk mengeluarkan kenyataan tersebut dan beliau sepatutnya sedar bahawa kenyataannya itu secara tidak langsung akan menimbulkan kebimbangan di kalangan petugas-petugas Rela memandangkan mereka tahu bahawa undi mereka sedang diperhatikan dan tidak lagi menjadi rahsia.

"Pemuda PAS Perak juga menasihatkan agar Ahmad Zahid membezakan di antara tanggungjawab rasmi Rela dengan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

"Kami menegaskan bahawa walaupun Rela berada di bawah kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri, tetapi kuasa tersebut hanya terbatas ke atas tugas-tugas rasmi Rela sahaja dan bukannya sehingga melangkaui urusan pengundian yang sepatutnya menjadi hak individu mereka sama seperti individu-individu yang lain," katanya ketika ditemui sebelum membuat laporan polis.

Jelas Fakhrulrazi, petugas-petugas Rela harus diberikan kebebasan sepenuhnya untuk memilih dan mengundi calon yang mereka inginkan dan Ahmad Zahid tidak sepatutnya menjadikan undi sebagai syarat untuk mereka diberikan peruntukan dan seragam baru.
 
Kenyataan Ahmad Zahid tersebut jelas beliau bukan sahaja bertentangan dengan semangat demokrasi, bahkan kenyataan tersebut juga jelas merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Kami memberi amaran tegas kepada Ahmad Zahid agar tidak menggunakan kedudukannya sebagai menteri untuk mengugut petugas-petugas Rela supaya mengundi calon BN, sebaliknya berkempen secara matang dan ‘gentleman’ kepada para pengundi," tegas Bendahari Pemuda PAS Malaysia itu.

Sebelum itu, Fakhrulrazi berkata, beliau kebetulan terserempak dengan Zahid di IPD itu telah menyerahkan salinan laporan kepadanya dan responsnya sangat negatif.

"Zahid kata beliau tidak bermaksud demikian dan kenyataannya cuba diputar belit.

"Saya suruh Zahid saman pihak yang mengeluarkan kenyataannya itu jika benar kenyataannya diputar belit," tegas Fakhrulrazi.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan dan Adun Pasir Pinji merangkap wakil calon DAP, Howard Lee.

Tiada ulasan: